fbpx
POLIS membawa mayat Maniishapriet Kaur (dalam bulatan) keluar dari kediamannya di Cyberjaya pada Selasa lalu.

Dia tidak pernah sakiti sesiapa, kenapa ragut nyawa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Seorang penuntut wanita sebuah universiti swasta di Cyberjaya dibunuh dengan kejam apabila kepalanya dihentak menggunakan objek tumpul sampai mati sebelum mayatnya dijumpai di sebuah rumah pada Selasa lalu.

Suspek juga dipercayai menggunakan kad pengeluaran wang automatik (ATM) milik mangsa, Maniishapriet Kaur Akhara, 20, yang dilarikan selepas kejadian.

Pembunuhan itu mengejutkan ramai pihak termasuk keluar­ganya yang tertanya-tanya motif sebenar mangsa dibunuh, sedang­kan wanita yang berasal dari Sarawak itu tidak pernah menyakiti hati sesiapa.

Mayat Maniishapriet Kaur atau dikenali sebagai Nisha ditemukan oleh rakan serumahnya di sebuah kondominium di Cyberjaya pada pukul 10.28 pagi, Selasa lalu.

Bapa saudara mangsa, Datuk Rajpal Singh berkata, anak saudaranya itu seorang yang pendiam, penyayang, tidak banyak cakap dan tidak suka mencari gaduh.

“Kami pun masih tidak tahu apa motif sebenar. Kami tunggu pihak polis tangkap suspek dan siasat kenapa mereka buat macam tu,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Katanya, setakat ini keluarga dimaklumkan suspek telah menggunakan kad ATM milik mangsa dan mengeluarkan wang selepas kejadian itu.

“Kalau ada sesiapa tahu atau nampak sesuatu, tolong tampil. Kami nak tahu apa sebenarnya berlaku,” ujarnya.

Menurutnya, keluarga amat dukacita dan terkejut dengan kejadian tersebut dan mahukan keadilan atas kematian Nisha.

“Lebih memilukan apabila kejadian ini berlaku di kawasan universiti yang sepatutnya mempunyai sistem keselamatan yang ketat,” katanya.

Menurutnya, pihak keluarga dimaklumkan terdapat beberapa kelemahan dari segi pengurusan keselamatan seperti televisyen litar tertutup (CCTV) yang didakwa tidak berfungsi ketika keja­dian.

Katanya, pihak pengurusan universiti perlu lebih bertanggungjawab dalam menjaga ke­selamatan penuntut, apatah lagi apabila satu nyawa telah hilang akibat kecuaian yang mungkin boleh dielakkan.

“Kami menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis dan berharap suspek terlibat segera ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Kami tidak mahu membuat sebarang spekulasi, tetapi kami mahu kebenaran dan keadilan untuk Maniishapriet,” katanya.

Difahamkan, mangsa adalah penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi di universiti swasta berkenaan.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan tinggal seorang diri selepas beberapa rakan serumahnya pulang bercuti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN