SHAH ALAM – Sebanyak tujuh buah kenderaan diparkir di tepi jalan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Glenmarie di sini mengalami kerosakan akibat dilanggar sebuah lori semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.10 petang dan siasatan mendapati pemilik meletakkan kenderaan terbabit untuk menggunakan perkhidmatan LRT ke tempat kerja.
“Mereka menyedari kenderaan dipercayai dilanggar kenderaan berat ketika pulang kerja. Setakat pukul 4 petang ini, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Shah Alam menerima tujuh laporan.
“Polis sedang mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi itu bagi mengenal pasti kenderaan terlibat. Kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya petang ini.
Mohd. Iqbal berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875 atau balai polis berdekatan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kenderaan yang diletakkan berdekatan Stesen LRT itu dipercayai terlibat dalam satu insiden langgar lari tular menerusi klip video di media sosial. – KOSMO! ONLINE