PONTIAN – Cubaan sepasang warga Indonesia meloloskan diri daripada polis gagal selepas berjaya ditahan di persimpangan lampu isyarat Sungai Gurap setelah dikejar sejauh 15 kilometer, disini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohamad Shofee Tayib berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.18 malam, selepas kereta jenis Nissan Almera berwarna putih itu dikesan dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Parit Haji Othman, Kampung Seri Bunian.
Menurut beliau, anggota dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dan Balai Polis Pontian yang cuba menahan kenderaan itu terpaksa mengejar suspek apabila pemandu enggan berhenti.
“Kenderaan terbabit dikejar dari Kampung Seri Bunian hingga ke kawasan Pusat Perdagangan Pontian sebelum berpatah balik ke Rambah, kemudian keluar ke jalan pantai menghala ke Bandar Pontian.
“Kenderaan terbabit berjaya ditahan di kawasan lampu isyarat Jalan Sungai Gurap,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemui dua bungkusan plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 8.58 gram.
“Kenderaan tersebut didapati membawa tiga individu warga Indonesia iaitu seorang lelaki berusia 34 tahun, seorang wanita, 24 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan 2 tahun dipercayai anak pasangan terbabit,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE