KUALA LUMPUR – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) mengorak langkah berani dalam menyokong Kerangka Ekonomi Madani apabila mengumumkan pelancaran inisiatif strategik bernilai RM211 juta hari ini.
Langkah ini sejajar dengan mandat yang diberikan di bawah Belanjawan Negara 2025 bagi memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara.
Inisiatif ini memberi fokus kepada sektor berimpak tinggi seperti Teknologi, Pelancongan, Halal dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), selain memperkasa golongan usahawan B40 dan Asnaf dalam usaha menjadikan PMKS lebih berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran masa depan.
Pemangku Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, pelancaran ini merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh melibatkan lebih RM1 bilion dana di bawah pengurusan SME Bank untuk tahun 2025.
“Sejajar dengan mandat kami, SME Bank berbangga memperkenalkan pelbagai program baharu termasuk MySMELady 2.0, Pembiayaan Ekosistem Payung, Dana Kelestarian Alam dan Maju Usahawan Madani, yang memperlihatkan pendekatan menyeluruh kami dalam membina landskap keusahawanan negara,” katanya pada Majlis Peluncuran Inisiatif Belanjawan 2025 kendalian SME Bank di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari.
Turut dilancarkan ialah SME Bank ITEKAD ISHRAF 4.0, inisiatif pembiayaan sosial yang melangkaui bantuan kewangan semata-mata.
Program ini dilengkapi elemen pemindahan ilmu dan kemahiran untuk membantu usahawan B40 dan Asnaf memperkukuh serta mengembangkan perniagaan mereka.
Dalam pada itu, SME Bank optimis akan mencapai sasaran pembiayaan berjumlah RM3 bilion bagi tahun 2025, selepas merekodkan RM2 bilion kelulusan pembiayaan setakat Mei 2025. – KOSMO! ONLINE