LONDON – Tottenham Hotspurs percaya mereka tidak lagi mampu untuk menyaingi Manchester United dalam perebutan untuk mendapatkan khidmat Bryan Mbeumo selepas kelab itu mengemukakan bidaan kedua yang melebihi £60 juta (RM343.07 juta).
Biarpun berpeluang untuk memujuk Mbeumo menggunakan pengurus baharu, Thomas Frank yang pernah bergabung dengan pemain itu di Brentford, Spurs tidak mahu membuang masa dan mengalihkan fokus mereka.
Nama terbaharu dikaitkan dengan perpindahan menyertai Spurs adalah pemain tonggak Crystal Palace, Eberechi Eze yang dinilai memiliki prestasi yang tidak jauh berbeza berbanding Mbeumo.
Eze yang tiba di Selhurst Park pada 2020 dari Queens Park Rangers muncul sebagai pemain penting pasukan itu apabila meledak 40 gol dan mencipta 28 umpanan gol dalam 127 penampilan.
Biarpun beraksi bersama Palace yang berada di luar daripada kelompok enam pasukan terbaik, Eze sentiasa berjaya mencuri perhatian menerusi aksi terbaiknya menyebabkan kelibat dia menjadi buruan banyak kelab besar.
Kontrak Eze ketika ini hanya akan berakhir pada 2027 menyebabkan Palace dianggap memiliki kelebihan dalam rundingan bersama Spurs untuk mendapatkan nilai yang lebih tinggi sekiranya kelab London itu kekal mahukan khidmatnya. – AGENSI