PADANG BESAR – Cubaan sindiket menyeludup kira-kira 22.86 kilogram (kg) kilogram bunga ganja bernilai lebih RM2.29 juta berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis dalam satu operasi khas di kawasan sempadan negara, minggu lalu.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi pada 19 Jun lalu selepas anggotanya mengesan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM yang ditinggalkan tanpa pemandu di kawasan ‘no man land’ berhampiran sempadan Malaysia–Thailand.
“Kenderaan itu dikesan dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan menemui beberapa bungkusan plastik hitam serta dua beg galas di tempat duduk penumpang dan ruang letak kaki penumpang hadapan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Padang Besar, di sini hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan berkenaan menemukan 40 bungkusan plastik lut sinar kedap udara mengandungi tumbuhan kering disyaki ganja seberat 22.86 kg.
“Anggaran nilai pasaran kesemua dadah yang dirampas itu mencecah RM2.29 juta manakala kenderaan turut disita dengan nilai anggaran RM15,000,” ujarnya.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, kereta tersebut dipercayai hanya ditinggalkan dalam tempoh satu jam sebelum dikesan pasukan penguat kuasa yang sedang menjalankan operasi di sekitar Padang Besar.
“Kereta itu dipercayai berjaya melepasi tapisan keselamatan di sempadan Thailand dan masuk ke lokasi tersebut sebelum ditinggalkan untuk diambil oleh individu lain,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE