JASIN – Seorang lelaki maut selepas ditimpa binaan konkrit tanda nama sebuah kampung di Kampung Gunung Asahan, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.05 pagi itu, mangsa, Nazri Yazid, 50, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu daripada orang awam yang mendapati mangsa tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.
“Mangsa ketika itu sedang menjalankan kerja-kerja perparitan sebelum binaan konkrit tanda nama kampung yang berada berhampiran tiba-tiba terjatuh lalu menghempap tubuh mangsa.
“Pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat telah dihantar ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah pada tubuh mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Azizul Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.49 pagi dan seramai empat anggota bersama-sama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.
“Ketika bomba tiba, mangsa sudah pun dikeluarkan oleh orang awam dari sisa runtuhan berkenaan dan disahkan meninggal dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE