PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Bella Astillah tidak dapat menahan sebak selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini mengenepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, yang memakai baju kurung berona biru dilihat menangis terharu dan berpelukan dengan ahli keluarga Syed Saddiq sejurus selepas keluar dari dewan bicara.
Momen tersebut dan kehadirannya ke mahkamah hari ini sekali gus menguatkan lagi khabar angin dia dan Syed Saddiq kini menjalin hubungan istimewa meskipun tidak pernah disahkan oleh mereka.
Reaksi Bella juga dilihat lebih ceria ketika bergambar bersama ahli keluarga Syed Saddiq selepas sidang media berbanding ketika tiba di mahkamah awal pagi tadi.
Sementara, penyokong tegar fenomena BASS pula mula memasang impian untuk melihat mereka mendirikan rumah tangga segera.
Lebih lucu, ada yang mencadangkan mereka bernikah malam ini susulan Syed Saddiq tidak lagi terikat dengan kes mahkamah.
“Sudah boleh nikahlah BASS kita malam ini.
“Seronok lihat hubungan baik Bella dengan keluarha Syed Saddiq di mahkamah, tanda dapat restu.
“Okey cepat umum bila majlis hari bahagia BASS, tak sabar nak main kompang.
“Sokongan Bella juga penguat semangat Syed Saddiq, semoga ada jodoh,” komen netizen.
Hari ini, Syed Saddiq atau nama sebenarnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan atas kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA). – KOSMO! ONLINE