SEREMBAN – Seorang juruterbang wanita mengalami kerugian lebih RM190,000 selepas menjadi mangsa penipuan membabitkan tawaran palsu pakej haji oleh individu tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, mangsa berusia lingkungan 30-an telah berurusan dengan seorang individu daripada sebuah agensi pelancongan yang menawarkan pakej menunaikan haji pada 14 Januari lalu.
“Pengadu berminat dengan tawaran tersebut dan telah membuat beberapa transaksi pindahan wang berjumlah RM194,970 ke dalam akaun agensi berkenaan sebagai bayaran penuh untuk pakej haji yang ditawarkan,” katanya ketika dihubungi.
Namun, Abdul Malik berkata, pada 15 Mac lalu, mangsa menyedari telah ditipu apabila agensi pelancongan terbabit didapati sudah tidak lagi beroperasi.
“Mangsa juga tidak dapat menunaikan ibadah haji seperti yang dijanjikan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE