PETALING JAYA – Kejayaan merangkul pingat emas di Terbuka Thailand bukan tiket ‘selesa’ buat atlet lompat tinggi negara, Norliyana Kamaruddin kerana masih ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki menghadapi misi lebih besar di Sukan SEA Thailand, Disember depan.
Dalam kejohanan di Pusat Olahraga Kebangsaan, Pathumthani, Bangkok semalam, bintang berpengalaman berusia 34 tahun itu mengesahkan pingat emas selepas melakukan lompatan 1.75 meter (m).
Had ketinggian itu secara tidak langsung mengatasi catatan pemenang pingat gangsa Sukan SEA Kemboja 2023 iaitu 1.73m dilakukan oleh Michelle Sng Suat Li dari Singapura.
Jurulatihnya, Malik Tobias berkata, kejayaan itu adalah petanda positif, namun mahu Norliyana yang juga pemegang rekod heptatlon kebangsaan tidak leka dan terus memperbaiki teknik lompatannya.
“Buat masa sekarang, Liyana berada dalam keadaan yang baik berbanding tahun lepas. Tahun lalu dia fokus kepada pemulihan kecederaan.
“Tahun ini dia sudah mula menyertai kejohanan dan Terbuka Thailand adalah pertandingan ketiganya. Pencapaiannya sangat baik dan berada di landasan betul mengikut perancangan,” katanya.
Sebagai rekod, Norliyana memiliki catatan peribadi terbaik 1.82m dan jika momentum sedia ada dapat diteruskan, tidak mustahil dia mampu mengulangi atau melepasi catatan tersebut di pentas lebih besar. – KOSMO! ONLINE