KUANTAN – Dua lelaki kerugian RM6,500 dan RM1,550 selepas berurusan dengan peniaga online ketika kejadian di Lipis semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kedua-dua mangsa berurusan dengan suspek berbeza melalui aplikasi WhatsApp.
Menurut beliau, mangsa pertama berusia 50 tahun menghubungi suspek yang mendakwa menjalankan perniagaan peralatan elektrik di Muar, Johor pada 29 Januari lalu.
“Mangsa berminat membeli lima mesin basuh serta lapan mesin pengering pakaian berharga RM6,500 dan diminta membuat bayaran ke dalam akaun milik seorang lelaki.
“Selepas bayaran dibuat, suspek berjanji akan menghantar barang tersebut melalui khidmat kurier dan mangsa diberikan nombor treking penghantaran,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menambah, mangsa memeriksa status penghantaran barang-barang tersebut melalui nombor treking pada 4 Februari, namun tiada rekod.
“Mangsa segera mendapatkan nombor telefon kedai tersebut dan terus membuat panggilan, tetapi dimaklumkan ada pihak pernah menggunakan nama kedai itu untuk tujuan menipu,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lelaki berusia 20 tahun kerugian RM1,550 selepas terlibat urusan jual beli telefon pintar iPhone XS Max 256GB secara bayaran ansuran bulanan.
“Pada 11 Januari, mangsa memasukkan RM1,550 (bayaran pendahuluan) ke dalam dua akaun berlainan melalui enam transaksi.
“Mangsa berasa tertipu apabila suspek berterusan meminta wang,” tambah Mohd. Wazir menerusi kenyataan hari ini.
Kedua-dua kes dilaporkan di Balai Polis Kuala Lipis semalam dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-K!ONLINE













