AWALNYA selebriti ini tidaklah terlalu mengikuti perkembangan dunia teknologi dan lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti sosial di kampung.
Tidak hanya itu, dia juga kurang meminati dunia permainan video meskipun rakan seusianya menjadikan aktiviti bermain gajet itu sebagai hobi.
Namun, kerana perkembangan teknologi dan keperluan kepada gajet dalam komunikasi, dia mula memiliki gajet sendiri sebagai keperluan.
Menurut ahli kumpulan Alpha dan juga peserta Big Stage, Muhammad Amirull Hasraff Mohd. Pilus, 19, atau lebih mesra disapa Araff, meskipun awalnya tidak aktif menggunakan gajet, segalanya kini berubah setelah dia menjadi selebriti.
“Dahulu saya kurang bermain gajet dan kebanyakan masa saya luangkan untuk melakukan aktiviti fizikal seperti membantu keluarga atau bermain dengan rakan-rakan.
“Tetapi bila sudah jadi selebriti, gajet amat diperlukan, mungkin awalnya untuk menelefon atau menghantar mesej tetapi kini saya perlu memanfaatkan sosial media untuk berhubung dengan peminat,” katanya ketika ditemu bual K-Tekno di Royal Theathre, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Tambahnya, walaupun tergolong dalam generasi Z, dia mengakui bahawa kehidupan yang kurang pendedahan dengan gajet memberi dia ruang untuk lebih banyak masa dengan keluarga serta menjadikan dia lebih matang.
Berkongsi pengalaman dengan gajet, Araff memberitahu, gajet terawal yang didedahkan kepadanya ialah radio.
Sejak kecil ayahnya akan selalu memainkan radio yang sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada dirinya terhadap dunia muzik.
Dia mula mendapat gajet sendiri ketika memasuki sekolah rendah yang digunakan untuk keperluan berhubung dengan keluarga.
Katanya, telefon pertama yang dimilikinya ialah model android jenama Vivo Y12 sebelum beralih kepada Samsung A04.
“Saya ada telefon sendiri agak lambat berbanding rakan-rakan, sebelum ini saya hanya tumpang main gajet mereka sahaja.
“Masa mula-mula dapat memang teruja tetapi keluarga tidaklah beri saya 100 peratus pegang telefon dan mengawal penggunaan saya,” ujarnya.
Kongsinya lagi, selepas beberapa tahun menggunakan Android dia kemudian beralih kepada iOS sekitar tahun lalu.
Menggunakan telefon model iPhone 12, Araff mengakui dia mendapat kejutan budaya dan melihat sistem iOS lebih mesra pengguna pada pandangannya.
Aktiviti bersama gajet juga semakin aktif selepas dia menyertai pertandingan pencarian bakat Big Stage, sejak itu Araff giat memuat naik status perkembangan terkini di media sosial.
“Dulu saya jarang aktif di sosial media, membuat hantaran pun jarang tetapi bila sudah jadi selebriti memang disarankan supaya setiap hari perlu muat naik perkembangan terkini untuk peminat-peminat.
“Jadi bila sudah guna iPhone, ia lebih memudahkan kerana untuk tangkap gambar atau video kualitinya sangat jelas serta ia kurang tersekat meskipun kini saya sudah guna kira-kira setahun,” kongsinya.
Memberikan pandangan tentang keperluan gajet dalam kerjayanya sebagai penyanyi Araff memberitahu, ia amat membantu terutama dalam aspek latihan atau mengembangkan karier untuk menjadi penyanyi serba boleh.
Dia juga mengidamkan gajet Macbook untuk dia gunakan bagi menghasilkan karya sendiri pada masa akan
datang.






