fbpx
PENUNJUK perasaan mengadakan demonstrasi bagi menentang serangan AS ke atas Iran pada 22 Jun di Los Angeles, California. - AFP

Serangan AS tidak akan tundukkan Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Perang Iran dan Israel memasuki episod baharu yang lebih genting apabila Amerika Syarikat (AS) mengebom tiga tapak nuklearnya, termasuk kemudahan pengayaan uranium bawah tanah di Fordow.

Campur tangan Washington meskipun sudah boleh dijangka, namun sedikit mengejutkan apabila ia dilakukan dua hari selepas Presiden Donald Trump menyatakan bahawa beliau akan mempertimbangan rancangan tersebut selama dua minggu.

Namun, dua minggu mengikut perkiraan matematik Trump ternyata hanya dua hari, menyebabkan banyak pihak meluahkan kebimbangan dengan situasi permusuhan yang bukan sahaja boleh meningkat di peringkat serantau, malah seluruh dunia.

Pakar Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr. Azmi Hassan berkata, beliau berpendapat bahawa loji nuklear Iran bukan isu utama yang menjadi tekanan kepada Israel untuk mencetuskan serangan itu.

“Sebaliknya, peluru berpandu Iran yang tidak dapat dipintas dan disekat oleh sistem pertahanan udara Israel termasuk Kubah Besi merisaukan Rejim Zionis,” katanya.

Tambah Azmi, tindakan AS dijangka tidak akan menundukkan Iran selagi Tehran mempunyai kekuatan untuk menyerang.

“Walaupun konflik itu telah melibatkan AS secara langsung, saya melihat pangkalan-pangkalan tentera AS di Asia Barat akan menjadi sasaran Iran.

“Jika Iran tidak menyerangnya secara langsung, kumpulan-kumpulan proksi mungkin akan bertindak dengan menyasarkan sasaran lebih mudah,” jelas Azmi.

Ditanya mengenai kebarangkalian terdapat campur tangan dari negara-negara pro-Iran yang lain, Azmi berkata, setakat ini tiada penglibatan secara langsung dilihat daripada Russia atau Korea Utara.

“Berbeza dengan AS, ia terlibat secara langsung dan keadaan itu memberikan risiko yang besar kepada negara-negara lain untuk turut serta,” katanya.

Trump yang menggelar dirinya sebagai ‘pendamai’, pada sebulan lalu berkata bahawa beliau berharap untuk memeterai perjanjian baharu dengan Iran sebelum membuat pusingan-U secara mendadak.

“Keputusan Trump untuk memendekkan usahanya sendiri bagi diplomasi akan menjadikannya lebih sukar untuk memeterai perjanjian dalam jangka sederhana dan panjang,” kata Pengarah Analisis Ketenteraan di Defence Priorities, Jennifer Kavanagh.

“Iran kini sukar mempercayai kata-kata Trump atau percaya bahawa melakukan kompromi akan memajukan kepentingan negaranya,” tambah Kavanagh.

Sejurus selepas serangan AS, Barat mendesak Tehran agar segera kembali ke meja rundingan dengan Washington berhubung program nuklearnya, namun apabila desakan dilakukan menggunakan ‘api’, sudah pasti balasan ‘api’ juga yang akan diberikan.

Tidak cukup dengan serangan tanpa provokasi yang dilakukan Israel, AS sekali lagi mengheret dirinya dalam konflik negara lain yang tidak akan menguntungkan sesiapa pun, malah mencetuskan risiko lebih besar kepada dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN