PETALING JAYA – Kerja-kerja penyenggaraan jalan Persekutuan di Sarawak bagi tahun 2025 melibatkan 46 Arahan Kerja bernilai RM50 juta.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau telah melakukan cabutan undi bagi kerja-kerja penyenggaraan tersebut.
“Hari ini saya berpeluang membuat cabutan undi kerja penyenggaraan jalan Persekutuan di Sarawak bagi tahun 2025 bernilai keseluruhan RM50 juta.
“Satu inisiatif yang bukan sahaja meningkatkan kualiti infrastruktur jalan, malah turut membuka lebih banyak peluang kepada kontraktor Bumiputera G1 hingga G4 di seluruh negeri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Alexander berkata, skop kerja merangkumi penyelenggaraan berkala pavemen seperti mill & pave, overlay, CIPR serta naik taraf bukan pavemen seperti garisan jalan, papan tanda, longkang dan kerb.
Ujar beliau, pemilihan kontraktor melalui proses digital dan telus itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk melibatkan lebih ramai kontraktor tempatan secara adil.
“Sambil memastikan kerja-kerja jalan raya yang lebih berkualiti, selamat dan mampan,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan semua kontraktor yang terpilih bahawa pemilihan mereka adalah amanah dan satu tanggungjawab yang besar.
“Jaga kualiti, patuhi spesifikasi dan utamakan keselamatan. Jalan raya bukan sekadar laluan, ia nadi penghubung rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE