PETALING JAYA – Hati penyanyi, Rahmad Mega luluh sekelip mata apabila anak perempuannya, Nur Ara Elisya, 15, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2 petang semalam.
Berita duka itu dikongsikan sendiri Rahmad atau nama sebenarnya, Rahmad Tohak, 56, yang ketika itu berada di Sarawak bagi menjayakan persembahan di Betong, sebelum terpaksa bergegas pulang ke Semenanjung.
“Saya mohon maaf kepada seluruh warga Betong kerana tidak dapat hadir. Saya sudah berada di Kuching dalam perjalanan ke lokasi, tetapi saya terima berita anak saya telah pergi.
“Saya perlu pulang segera ke Semenanjung. Saya minta maaf ya warga Betong,” katanya dalam satu hantaran video penuh sebak.
Menurut pelantun Bayangan Gurauan itu, jenazah akan dibawa ke kediaman keluarga di Desaku Apartment, Taman Kemensah Height sebelum disempurnakan pagi ini di surau berdekatan.
“Jemaah masjid akan bantu uruskan segalanya. Insya-Allah, jenazah akan disempurnakan pagi esok (pagi ini),” ujarnya.
Difahamkan, Allahyarham Nur Ara Elisya merupakan anak istimewa (OKU) dan sebelum ini menjalani pembedahan spinal di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM) bagi meluruskan tulang belakangnya yang membengkok 140 darjah akibat sindrom Prader Willi iaitu sejenis penyakit genetik jarang berlaku sejak lahir.
Untuk rekod, Nur Ara Elisya merupakan anak hasil perkahwinan Rahmad bersama pelakon Ainina Ahmad B. – KOSMO! ONLINE