PETALING JAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebagai Ketua Polis Negara ke-15.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, latar belakang Mohd Khalid yang kukuh dalam bidang perisikan dan keselamatan, termasuk pengalaman luas sebagai Pengarah Cawangan Khas, memberi kelebihan dalam menangani pelbagai ancaman termasuk jenayah terancang, ekstremisme dan rasuah berprofil tinggi.
“MCW percaya pelantikan ini memberi sinar baharu kepada usaha memperkukuhkan integriti dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejajar dengan harapan rakyat yang mahu melihat institusi itu bebas, telus dan berwibawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Jais, pihaknya menjangkakan kepimpinan Mohd Khalid akan memberi penekanan terhadap ketelusan siasatan, pemantauan salah guna kuasa serta pengukuhan integriti dalam kalangan warga pasukan.
Jelasnya, MCW turut menyeru agar agenda reformasi institusi penguatkuasaan diteruskan, termasuk menjalin kerjasama erat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam usaha memerangi gejala rasuah secara menyeluruh.
“PDRM perlu kekal sebagai barisan hadapan dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah demi masa depan negara yang lebih bersih dan berintegriti,” katanya. – KOSMO! ONLINE