fbpx
LUKISAN mural batik yang memaparkan peristiwa pengisytiharan kemerdekaan negara.

Mural batik mega serlah identiti Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATIK bukan saja menjadi simbolik kesenian dan warisan negara, malah ia menjadi identiti budaya dengan setiap corak membawa makna tersendiri.

Selepas mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai warisan budaya tidak ketara, batik semakin mendapat tempat di pentas antarabangsa.

Salah seorang pelukis tempatan, Arif Rafhan Othman meluahkan rasa bangga selepas dia dipilih menjadi salah seorang pelukis mural batik terbesar di negara ini.

Terletak di Zon Jejak Pahlawan, Kuala Lumpur, mural itu meliputi ruang melebihi 1,100 meter persegi.

Mural itu bukan saja menjadi kebanggaan warga kota, malah berjaya menjadi salah satu tarikan pelancong.

Arif Rafhan memberitahu, mural tersebut mula diusahakannya sejak tahun lalu.

ARIF RAFHAN merupakan salah seorang pelukis Mural Batik Madani.

 

“Terdapat pihak lain dan beberapa artis mural membantu saya menyiapkan mural ini.

“Proses melukis diketuai oleh Ruhaizad Ali sambil dibantu oleh Fadzlan Ridzan. 

“Bermula pada 1 Mac lalu, proses pengecatan dilakukan dan ia mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan. Bagaimanapun, ia siap lebih awal daripada perancangan asal,” katanya. 

Sementara itu, Arif Rafhan berharap mural tersebut dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat, sekali gus menjadi asas kepada pembentukan negara bangsa.

Ujarnya, mural yang dihasilkan itu dapat memacu semangat patriotisme menerusi paparan wajah pemimpin berjasa dan bangunan ikonik negara.

“Tokoh yang banyak berjasa mampu menyemarakkan semangat cintakan negara ke arah kecemerlangan demi menyatukan bangsa,” katanya.

Untuk makluman, mural tersebut merupakan inisiatif terbaharu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pihak DBKL sentiasa berusaha menitikberatkan pendekatan holistik dan inklusif dalam pembangunan ibu kota Kuala Lumpur.

Sementara itu, Arif Rafhan berkata, salah satu cabaran terbesar kepada pasukan pelukis adalah untuk memastikan setiap babak yang dilukis menyentuh pelbagai lapisan masyarakat tanpa meminggirkan keindahan seni.

“Cabaran paling utama adalah menyusun jalan cerita yang mewakili semua pihak. 

“DBKL amat menekankan pendekatan inklusif, jadi kami perlu pastikan naratif mural ini mencerminkan kepelbagaian budaya, sejarah dan identiti Malaysia.

MURAL Batik Madani menjadi simbol kepada kesenian dan budaya tempatan.

“Namun, saya sangat kagum dengan Ruhaizad kerana berjaya menyiapkan mural ini dengan lebih cepat,” katanya. 

Dalam pada itu, Arif Rafhan memaklumkan, batik sudah menjadi sebahagian daripada dirinya.

Ujarnya, batik membawa makna tersendiri, bukan sahaja sebagai hiasan, malah sebagai simbol kelembutan kesantunan serta budaya tempatan.

Gemar berkongsikan hasil ‘air tangan’ di media sosial, Arif Rafhan mengharapkan usaha itu dapat membentuk rasa cinta masyarakat terhadap batik.

“Pada saya, jalur batik Malaysia amat lembut dan gemalai. Itu cerminan akhlak rakyat Malaysia yang harus kita pupuk.

“Biarpun berdepan dengan zaman media sosial yang penuh cabaran, namun saya berharap kandungan fusion berpaksikan budaya ini dapat meningkatkan rasa cinta kepada negara,” ujarnya.

Karya yang dikenali sebagai Mural Batik Madani itu telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd.  Sharif baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN