PETALING JAYA – Pelakon dan usahawan, Betty Rahmad tampil meluahkan kekecewaannya terhadap sikap segelintir netizen yang cepat menghukum hanya berdasarkan video yang tular baru-baru ini ketika dia menghadiri ke suatu majlis ilmu.
Betty atau nama sebenarnya Norsha Rahmad, 43, berkata, dia menghadiri ke majlis ilmu bersama Ustaz Wadi Anuar adalah untuk mencari ilmu agama, bukannya untuk menilai orang lain.
“Kalau niat jahat dengan orang atau mahu menilai orang, lebih baik duduk rumah sahaja.
“Sudahlah buat andaian, masa saya terlalu berharga,” katanya menerusi dalam aplikasi Threads.
Tambah Betty, dia kesal dengan pandangan negatif yang direka sewenang-wenangnya segelintir netizen dan berharap mereka berhenti daripada membuat tanggapan negatif terhadapnya serta mereka yang menghadiri majlis berkenaan.
“Masa saya terlalu berharga untuk nilai orang atau ambil tahu pasal orang. Banyak benda dekat diri saya yang harus diperbetulkan,” katanya lagi.
Terdahulu, tular sebuah video yang memaparkan Betty bersama pelakon Ruhainies dan Nora Danish sedang bergambar ketika menghadiri majlis ilmu bersama Ustaz Wadi Anuar.
Video itu telah menuai pelbagai komen negatif terutama tentang reaksi wajah Betty dan Nora yang didakwa kurang senang ketika bergambar dengan Ruhainies. – KOSMO! ONLINE