KUALA LUMPUR – Perebutan kuasa untuk mengawal kawasan bagi menjalankan kegiatan haram di Sibu, Sarawak dipercayai punca dua lelaki mati ditembak sekumpulan individu bertopeng di hadapan pusat beli-belah di Cheras di sini Selasa lalu.
Sumber berkata, siasatan awal mendapati, salah seorang lelaki yang maut dalam kejadian serangan ala mafia itu merupakan ketua sebuah kumpulan gengster yang aktif di daerah berkenaan.
Katanya, kumpulan tersebut dipercayai menjalankan aktiviti judi online dan nombor ekor haram serta penyeludupan kontraban seperti rokok, minuman keras, beras dan daging babi.
“Kumpulan suspek tersebut melepaskan hampir 10 das tembakan ke arah sasaran mereka (mangsa) yang dibuat pada jarak dekat.
“Ekoran kejadian itu, dua lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40-an cedera di kepala, dada dan belakang badan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Bedah siasat ke atas mayat mangsa selesai dijalankan dan punca kematian adalah disebabkan kecederaan terkena tembakan pada jarak dekat.
Dalam kejadian pukul 11 hingga 12 tengah malam, Selasa lalu, sekumpulan individu memakai topeng ski melepaskan tembakan bertalu-talu dari jarak dekat menyebabkan dua lelaki maut di hadapan sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Insiden cemas itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) sebelum tular di media sosial. Sekurang-kurangnya lima suspek terlibat dalam kejadian tersebut.
Kedua-dua mangsa yang berasal dari Sibu diserang ketika mahu menaiki kenderaan.
Tinjauan di lokasi turut mendapati sebuah kenderaan mengalami kerosakan pada cermin hadapan dan bonet.
Saksi memaklumkan, empat individu bersenjatakan pistol keluar dari kenderaan pelbagai guna Perodua Alza untuk menyerang mangsa, manakala pemandunya berada dalam kenderaan.
Polis giat mengesan suspek yang terlibat. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-9284 5050/5051, Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999).














