BERBICARA tentang boling padang, ia mungkin tidak sepopular sukan-sukan lain di Malaysia.
Pun begitu, sukan boling padang senantiasa mempunyai ‘permata’ yang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Nor Farah Ain Abdullah, 24, merupakan atlet sukan boling padang yang cukup bersinar pada ketika ini.
Malah, pada 4 Mac lalu, namanya rasmi diiktiraf di kedudukan teratas ranking dunia perseorangan wanita berdasarkan kemas kini World Bowls Series. Dia menjadi pemain No.1 dunia selepas mengumpul 723 mata hasil kejayaan meraih emas dalam acara perseorangan wanita di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands.
Julie Forest dari Scotland berada di ranking kedua, manakala Kelsey Cottrell dari Australia di posisi ketiga.
Kecemerlangan Farah Ain dalam pentas sukan tersebut juga telah membolehkannya dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan di Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 baru-baru ini.
Malah, dia juga mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi atlet pertama daripada sukan boling padang yang menerima anugerah tersebut.
Selain itu, dia juga dinobatkan sebagai Olahragawati Selangor 2024.
Farah Ain menitipkan rasa syukur kerana kerja kerasnya dalam sukan itu akhirnya terbalas. Kata Farah Ain, dia langsung tidak menyangka akan menerima anugerah tersebut memandangkan dia baru tahun pertama bersama skuad kebangsaan.
“Saya juga gembira kerana dapat meraih anugerah ini pada usia yang masih muda dan dalam masa sama dapat mengharumkan nama sukan boling padang itu sendiri.
“Kejayaan yang saya gapai ini adalah berkat dorongan keluarga, jurulatih, kawan-kawan dan persatuan boling padang itu sendiri,” katanya yang berasal dari Kuala Selangor.
Tambahnya, anugerah itu juga menjadi pembakar semangat untuknya terus mencipta kejayaan dalam sukan boling padang pada masa hadapan.
Menceritakan tentang perjalanannya dalam sukan boling padang kepada K-Wanita, Farah Ain berkata, dia terlibat sukan itu sejak usia 13 tahun lagi.
Sebelum itu, dia terlebih dahulu terlibat sukan kayak dan pernah mewakili Selangor ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Permatang, Kuala Selangor.

di Guernsey, Channel Islands.
BAGAIMANAPUN kata Farah Ain, bapanya tidak membenarkan dirinya terlibat serius dengan sukan kayak kerana berisiko.
“Ketika itu, saya juga ada menceburi sukan boling padang di sekolah tetapi tidaklah terlalu serius,” jelasnya.
Farah Ain kemudian beralih fokus pada sukan boling padang setelah bapanya tidak membenarkan dirinya terlibat dengan sukan kayak.
Farah Ain juga berhadapan dengan kekecewaan pada awal pembabitannya dalam sukan boling padang ketika zaman persekolahan.
Namanya tidak terpilih untuk mewakili daerah Kuala Selangor untuk Sukan Antara Daerah Selangor.
“Pada ketika itu, saya berlatih dengan jurulatih boling padang negeri Selangor.
“Tetapi saya tidak dipilih oleh jurulatih daerah dan dia memilih orang lain,” katanya.
Selepas itu, dia memilih untuk terus berlatih dengan jurulatih boling padang negeri Selangor tersebut iaitu Coach Ariffin.
Untuk latihan, dia perlu berulang dari rumahnya di Kuala Selangor ke pusat latihan di Pelabuhan Klang.
Dia perlu menaiki bas untuk ke pusat latihan tersebut dan ada ketikanya dia akan bermalam di rumah rakannya.
Pengorbanannya itu terbalas apabila Farah Ain terpilih untuk mewakili Selangor untuk Sukan Malaysia (Sukma) yang berlangsung di Perak pada tahun 2018.
Kemudian dia juga terpilih untuk menyertai Sukma Kuala Lumpur pada tahun 2022.
Farah Ain mengakui dia juga hampir berputus asa dengan sukan boling padang kerana tidak dapat menuai pingat di dua kejohanan Sukma yang disertainya.
“Selepas itu, saya berhenti bermain dan hanya berlatih kadang-kadang sahaja dan saya memilih untuk bekerja sambilan.
“Tetapi pada tahun 2023 ada pertandingan boling padang peringkat kebangsaan di Terengganu dan siapa yang menang dapat mewakili negara untuk pergi ke Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands.
“Coach Ariffin yang meminta saya untuk menyertai pertandingan ini dan saya bersetuju sekadar untuk mencuba pada mulanya,” kata Farah Ain.
Rezekinya ternyata telah tertulis untuknya dan Farah Ain menjadi juara untuk acara perseorangan di kejohanan tersebut.
Di situlah bermula kembali kebangkitannya dalam sukan boling padang.
Dia kemudian terpilih untuk menyertai pasukan kebangsaan untuk menyertai beberapa kejohanan.
Farah Ain juga terpilih untuk mewakili negara dalam Kejohanan Boling Padang Asia 2024 di Pattaya, Thailand.
Malah, dia juga menyumbang pingat emas dan perak untuk acara berpasukan dalam kejohanan tersebut.
Dalam pada itu, Farah Ain sepatutnya akan beraksi di Terbuka Australia yang berlangsung pada masa ini, namun dia tidak dapat untuk berbuat demikian kerana berhadapan dengan kecederaan pada bahagian bahu.
Ketika ini dia sedang fokus untuk sesi pemulihan.

Kongsi Farah Ain lagi, dia mempunyai cara tersendiri yang sering diamalkan olehnya sebelum turun beraksi di gelanggang.
“Setiap kali sebelum perlawanan bermula saya akan meluangkan masa untuk tidur sekejap selama 15 minit sambil mendengar lagu.
“Ini cara saya untuk menenangkan minda dan mengurangkan tekanan sebelum turun ke gelanggang,” ujarnya.
Farah Ain juga mempunyai impian masa hadapan untuk sukan boling padang itu sendiri.
Sebolehnya dia mahu lebih ramai terlibat dengan sukan tersebut.
Namun baginya, apa yang menjadi masalah adalah kekurangan tempat untuk orang ramai bersantai dan bermain boling padang.
Untuk itu, dia mempunyai hasrat untuk membuka sebuah pusat boling padang yang lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk tempat menjual makanan dan minuman.
“Saya lihat di negara kita kekurangan pusat boling padang berbanding negara-negara lain.
“Jika boleh, saya ingin mewujudkan tempat sebegini yang lengkap dengan pelbagai kemudahan dan boleh menjadi tempat untuk orang ramai terlibat dengan sukan ini,” jelasnya.
Siapa sangka, di sebalik kejayaan yang Farah Ain gapai dalam arena sukan boling padang, ada ‘perjuangan dalaman’ yang dihadapi oleh dirinya.
Dedah Farah Ain, dia perlu berjuang dengan isu kesihatan mental yang dialaminya sejak tahun 2023.
Jelas Farah Ain, dia sebenarnya telah didiagnosis berhadapan dengan masalah Major Depressive Disorder (MDD) dan serangan panik.
“Masalah ini berlaku kerana saya lebih suka memendam rasa daripada meluahkannya untuk beberapa perkara.
“Ada satu ketika, saya menjadi seperti pemarah di tempat kerja kerana beban kerja yang melampau sehingga membuat saya tidak tahan dan akhirnya saya pergi berjumpa dengan dokor.
“Apabila berjumpa dengan doktor, baru saya tahu saya ada masalah tersebut,” katanya.
Ketika ini, dia masih mengambil ubat secara harian untuk mengawal masalah tersebut.
Ini kerana masalah tersebut kadangkala membuatkan Farah Ain tidak dapat tidur dan dia perlu mengambil ubat pada waktu malam untuk lebih tenang tidur.














