
Perkongsian kecil ini dengan niat untuk bincangkan keperluan mendesak untuk melihat keselamatan jalan raya sebagai tanggungjawab profesional dan berterusan, bukan sebagai reaksi terhadap kemalangan maut.
Setiap bentuk kemalangan, sama ada berskala kecil atau besar, perlu diberi perhatian serius sebagai indikator sistemik kepada kelemahan struktur, reka bentuk dan pematuhan undang-undang jalan raya serta sikap pemandu dan juga ekosistem keselamatan secara komprehensif.
Pihak kerajaan dan agensi terbabit perlu menyeru kepada reformasi budaya kerja agensi penguatkuasaan, pemantauan sistemik yang berasaskan data dan pendekatan pencegahan menyeluruh untuk mengurangkan kematian serta kecederaan akibat kemalangan jalan raya.
Dalam budaya pengurusan keselamatan jalan raya di Malaysia, sering kali kita melihat tindakan hanya dilakukan selepas berlakunya kemalangan yang mengorbankan nyawa.
Pada ketika itu, pelbagai pihak mula bertindak dari penguat kuasa yang hadir ke lokasi, pihak media yang mula melapor, hingga kepada pemimpin yang mengeluarkan kenyataan, tetapi persoalannya, mengapa perlu menunggu sehingga ada kematian baru tindakan diambil?
Realitinya, kemalangan kecil juga adalah kemalangan. Kemalangan setiap hari di Malaysia adalah petunjuk awal kepada masalah yang lebih besar jika tidak ditangani secara sistematik. Jika kemalangan kecil tidak diteliti, dianalisis dan dibaiki puncanya, maka kita hanya menunggu masa untuk menjadi kemalangan maut.
Dalam bidang keselamatan pekerjaan dan pengurusan risiko, wujud satu konsep penting dikenali sebagai ‘Heinrich Triangle’ di mana untuk setiap satu kematian, terdapat 29 kemalangan serius dan 300 insiden kecil atau ‘near-miss’. Statistik ini mencerminkan satu prinsip iaitu tragedi adalah kemuncak kepada kegagalan sistem yang lama diabaikan.
Begitu juga dalam konteks jalan raya. Kemalangan kecil seperti geseran, pelanggaran ringan dan insiden nyaris langgar tidak boleh dipandang ringan. Sebaliknya, semua situasi ini adalah merupakan ‘red flag’ yang menunjukkan wujudnya sesuatu yang perlu diambil perhatian.
Antaranya ialah masalah reka bentuk simpang atau selekoh, kurangnya pencahayaan kawasan tertentu pada waktu malam, ketidaksesuaian kelajuan laluan, kondisi jalan, kurangnya penelitian kondisi kenderaan yang benar-benar layak berada di atas jalan raya dan status prestasi pemandu selain kelalaian penguatkuasaan di kawasan tumpuan risiko
Malangnya, insiden-insiden kecil ini tidak direkod secara sistematik atau dijadikan asas kepada penambahbaikan infrastruktur atau dasar.

Budaya Kerja
Kelemahan yang paling ketara dalam pengurusan keselamatan jalan raya adalah budaya kerja yang bersifat ‘reaktif’ dan bukan proaktif. Banyak agensi hanya mula bertindak apabila ada aduan media, tekanan sosial atau berlaku kematian.
Sebagai contoh ialah lampu jalan hanya dibaiki selepas kemalangan berlaku, jawatankuasa hanya dibentuk selepas beberapa nyawa terkorban, pihak terbabit hanya cat garisan bila ada nahas.
Selain itu, pemeriksaan kenderaan juga hanya dalam julat masa bila ada kemalangan maut dan tindakan penguatkuasaan dilakukan secara bermusim atau bersifat operasi khas sahaja.
Keselamatan jalan raya tidak boleh dibiarkan menjadi kerja bermusim. Tindakan proaktif adalah fungsi yang perlu berlaku setiap hari, berasaskan data, maklum balas lapangan dan pemantauan real-time.
Sebagai agensi-agensi yang profesional dalam bidang keselamatan dan pengurusan, terdapat beberapa elemen utama yang perlu dijadikan asas kepada pendekatan baru.
Yang pertamanya adalah berkaitan pemantauan berasaskan data (data-driven surveillance) iaitu antara lain mewujudkan sistem pengumpulan data untuk insiden kecil, aduan pengguna, dan titik panas atau ‘hot spot’ kawasan kemalangan.
Pemantauan berasaskan data juga merangkumi penggunaan teknologi seperti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) beranalitik, sistem kecerdasan buatan (AI) dan geo-mapping untuk mengenal pasti kawasan berisiko.
Turut perlu diberi perhatian ialah perlunya ada data setiap hari di kawasan kemalangan seumpama laporan harian Covid-19. Dengan ini, rakyat akan tahu kawasan kemalangan dan kawasan kematian.
Pendekatan kedua pula adalah berkaitan penguatkuasaan berterusan (continuous enforcement) iaitu menjadikan penguatkuasaan sebagai rutin, bukan hanya selepas aduan serta memastikan kehadiran penguat kuasa adalah pencegah, bukan semata-mata untuk hukuman.
Pembaikan infrastruktur berdasarkan risiko (risk-based infrastructure audit) juga perlu menekankan aspek audit jalan raya secara berkala, termasuk pencahayaan, papan tanda, jalan berlubang, dan pergerakan trafik.
Selain itu, pendekatan holistik seperti kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian untuk tindakan susulan yang pantas.
Jangan normalisasikan kemalangan
Pendekatan keempat yang perlu diambil serius adalah berkenaan budaya keselamatan dalam masyarakat (community-based safety culture).
Ia melibatkan komuniti setempat sebagai mata dan telinga di jalan raya serta melatih komuniti untuk melaporkan risiko dan bertindak sebagai rakan strategik keselamatan.
Satu lagi cabaran besar apabila masyarakat menormalkan kemalangan jalan raya sebagai sesuatu yang lumrah. Sikap ‘biasalah eksiden sikit-sikit’ adalah berbahaya kerana sikap ini akan membentuk satu kepercayaan bahawa tiada keperluan bertindak jika tiada korban jiwa.
Sikap ini juga akan mengabaikan trauma, kerosakan ekonomi, kehilangan upaya dan kesan psikologi yang dialami oleh mangsa. Setiap kemalangan sama ada kecil atau besar merupakan indikator kegagalan sistem, dan wajib dipandang serius sebagai peluang untuk pembetulan dasar.
Dalam membina landskap keselamatan jalan raya mampan, pencegahan adalah prinsip utama. Ia bermula dengan perubahan cara fikir, sistem kerja, dan sikap profesional semua pihak terlibat.
Jangan tunggu kematian baru bekerja. Jangan tunggu darah tumpah baru bertindak. Setiap kemalangan sekecil mana pun adalah panggilan untuk kita bertindak.
Justeru, beberapa cadangan tindakan lanjut perlu dilakukan segera oleh pihak-pihak yang berkepentingan termasuk mewujudkan sistem pelaporan insiden kecil dan near-miss secara nasional dan melaksanakan audit keselamatan jalan setiap suku tahun di kawasan berisiko.
Selain itu, pihak berkaitan juga dicadangkan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas antara agensi untuk pemantauan risiko dan penyelesaian cepat serta mengintegrasikan pendidikan keselamatan jalan raya dalam sistem sekolah dan latihan lesen memandu.
Harapan saya ialah agar sikap dan pelaksanaan untuk menjaga keselamatan bukan soal populariti atau petunjuk prestasi utama (KPI) semata-mata, tetapi soal menghormati nilai sebuah nyawa.
Setiap langkah pencegahan hari ini adalah penyelamat kepada satu lagi potensi kehilangan esok.
Saya harap ada manfaat dan segala yang baik daripada Allah dan semua kelemahan daripada saya. Niat berkongsi tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, tetapi sebagai peringatan untuk transformasi ke arah lebih baik.
Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Kedah Berhad merangkap Jurulatih Pemanduan Berprestasi Tinggi/ Defensif Bertauliah.














