fbpx
PASUKAN Speedy Tigers perlu lebih 'tajam' di depan pintu gol lawan.

Atasi kelemahan Speedy Tigers hadapi kejohanan penting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETUMPU­LAN pukulan sudut penalti terus menjadi duri dalam daging kepada skuad hoki lelaki negara menjelang kempen penting di pentas Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2024 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Biarpun ada peningkatan ketara dari aspek jaringan padang, kelemahan menyempurnakan peluang menerusi sudut penalti menjadi antara punca utama yang menghalang Speedy Tigers untuk bersaing secara konsisten di pentas antarabangsa.

Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh mengakui, isu itu perlu diselesaikan segera sekiranya mereka mahu mencapai sasaran ke separuh akhir kejohanan kali ini.

“Di Korea, kami dapat 23 pukulan sudut penalti dan hanya jaringkan lima dengan fliker baharu, itu masih boleh diterima, tapi kami juga beri 25 kali pukulan sudut penalti bolos lima gol kepada lawan. Kami perlu kurangkan kesilapan itu,” katanya.

Ketiadaan pakar flik utama seperti Faizal Saari yang bersara daripada skuad kebangsaan Februari lalu menjadikan situasi semakin sukar buat barisan
kejurulatihan negara.

Faizal bersama Razie Rahim dan Najmi Farizal Jazlan sebelum ini menjadi tulang belakang dalam menyempurnakan pukulan tersebut, namun mereka kini tidak lagi bersama pasukan.

Kini, tanggungjawab besar digalas Syed Syafiq Syed Cholan yang kembali beraksi selepas hampir dua tahun menyepi akibat komitmen pelajaran.

Turut diberi kepercayaan ialah dua muka baharu, Muhamad Faris Harizan dan Arif Syafie Ishak, namun pengalaman mereka masih cetek untuk menggalas tugas berat dalam kejohanan berintensiti tinggi.

“Saya perlukan lebih banyak pengalaman dan lagi dua tiga orang yang masih muda. Kita perlukan lebih banyak pilihan sebab bila kita lawan pasukan kuat, mereka akan tahu hanya saya fliker yang ada,” ujarnya.

Bagi memantapkan aspek pukulan sudut penalti, Konfederasi Hoki Malaysia melantik legenda Pakistan, Sohail Abbas sebagai jurulatih khusus bermula Oktober 2024.

Sohail yang memiliki rekod jaringan pukulan sudut penalti tertinggi dunia dengan lebih 300 gol kini memainkan peranan sebagai penasihat teknikal pasukan.

“Sohail baru tiba dan masih menilai teknik pemain. Dia juga sudah ubah teknik beberapa fliker kita, tapi ini ambil masa, bukan terus nampak hasil,” kata Sarjit.

Namun, keputusan segera tetap dituntut dalam kejohanan kali ini memandangkan banyak perlawanan antarabangsa ditentukan menerusi kecekapan pukulan.
Statistik dari Jelajah Korea baru-baru ini menunjukkan Malaysia meledak 16 gol keseluruhan iaitu 11 jaringan padang dan lima hasil daripada 23 percubaan pukulan sudut penalti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN