PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan untuk memperkukuh amalan tatakelola yang baik di semua peringkat, termasuk menerusi penyertaan aktif golongan muda.
Langkah itu penting, katanya, terutama dalam memahami kepentingan integriti dan kebertanggungjawaban dalam kepimpinan.
Beliau berkata perkara itu dibangkitkan ketika menghadiri Mesyuarat Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan.
“Saya telah menyentuh beberapa perkara penting yang berkait rapat dengan usaha memperjuangkan pembaharuan dan memperkukuh amalan tadbir urus yang baik di semua peringkat.
“Penekanan turut diberikan terhadap peranan golongan muda termasuk remaja dan belia dalam memahami serta menghayati kepentingan integriti, akauntabiliti dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran dan kepimpinan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, usaha menanam nilai tatakelola dilaksanakan secara strategik melalui Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) serta pelbagai pihak berkepentingan.
“Adalah menjadi keutamaan untuk memastikan kesedaran mengenai nilai dan prinsip tatakelola terus dipupuk dan diperkasakan sejak usia muda.
“Ini bukan sekadar membentuk individu berintegriti, tetapi juga melahirkan generasi pewaris kepimpinan negara yang mampu membawa aspirasi rakyat dengan penuh amanah dan profesionalisme,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE