PETALING JAYA -Bank Negara Malaysia (BNM)mengumumkan pelaksanaan penuh Program Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan (Qualified Resident Investor, QRI) bagi syarikat pemastautin yang layak, berkuat kuasa 1 Julai 2025.
Ini adalah sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan aliran dana dua hala
dalam pasaran pertukaran asing tempatan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pelaksanaan ini diperluaskan berikutan kejayaan program rintis QRI yang diperkenalkan pada bulan April 2024.
“Sejak mula dilaksanakan, program QRI telah menjana aliran masuk dana berjumlah lebih AS$1 bilion (RM4.23 bilion) daripada syarikat-syarikat peserta ke dalam pasaran kewangan domestik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Mengulas lanjut, pelabur pemastautin yang layak hanya perlu melengkapkan pendaftaran
sekali sahaja dengan BNM untuk mendapatkan fleksibiliti QRI bagi melaksanakan aktiviti pelaburan langsung luar negeri pada masa akan datang tanpa perlu mendapatkan kelulusan tambahan terlebih dahulu daripada bank pusat.
Untuk menikmati fleksibiliti tersebut, pelabur pemastautin hendaklah terlebih dahulu membawa balik dan menukarkan perolehan dana mata wang asing yang menepati syarat kepada ringgit setelah berjaya mendaftar dengan BNM.
Program QRI akan tersedia hingga 30 Jun 2028. -KOSMO! ONLINE