“TERKEJUT juga, sebab saya pun tidak pernah menyangka saya membaca buku sebanyak itu,” demikian komen Alif Zachary Mohd. Arif yang menerima anugerah peminjam buku terbanyak di Selangor baru-baru ini.
Remaja berusia 13 tahun itu meminjam 1,378 naskhah buku sepanjang tahun
lalu.
Pencapaian mengagumkan itu melayakkan Alif Zachary atau lebih mesra disapa Alif menerima anugerah itu serta wang tunai RM1,000 di Karnival Jom Baca Bersama 10 Minit 2025 yang diadakan di Perpustakaan Tun Raja Uda, Shah Alam April lalu.
Karnival Jom Baca Bersama 10 Minit adalah program tahunan anjuran Kerajaan Selangor di bawah kendalian Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), yang kini penganjurannya masuk kali ke-12 dengan tujuan meningkatkan tabiat serta budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Berkongsi dengan K-Remaja, Alif yang juga merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Gadong, Klang memberitahu minat membaca timbul sejak dia berusia lima tahun.
“Apa yang membuatkan saya minat terhadap aktiviti membaca ini adalah kerana setiap kali saya membaca apa sahaja jenis buku sama ada komik mahupun novel, saya rasa daya imaginasi saya berkembang bebas.
“Imaginasi saya boleh membayangkan dan mengikut apa yang diceritakan dalam buku-buku yang dibaca,” katanya.
Pencapaian Alif bukan sahaja membanggakan dia dan ibu bapanya, bahkan netizen juga turut sama berbangga apabila remaja seperti Alif masih mempunyai minat terhadap bahan bacaan fizikal.
Kongsi Alif, dia lebih minat membaca buku fizikal kerana menganggap ia lebih dekat dengan jiwanya.
Alif menambah, bahan bacaan pertama yang membuatkan dia jatuh cinta adalah komik.
Berkongsi tentang kunjungan pertamanya ke Perpustakaan Awam Sungai Udang, Alif memberitahu dia pada mulanya tidak mengetahui tentang kewujudan perpustakaan komuniti itu yang terletak begitu hampir dengan rumahnya.

“Kemudian, saya mula berkunjung ke perpustakaan tersebut setelah menyedari kewujudannya pada usia enam tahun.
“Kunjungan saya waktu pertama kali itu adalah bersama rakan-rakan.
“Pada awalnya, bapa tidak mengetahui tentang aktiviti saya itu.
“Namun, selepas itu, bapa mula mengetahui saya gemar berkunjung ke perpustakaan tersebut sehingga kini,” katanya.
Kini, bapa Alif memberikan sokongan penuh terhadap minat membaca yang ditunjukkan anak tunggalnya itu.
Bercerita bagaimana dia boleh meminjam sehingga ribuan buku setahun, Alif berkata, dia menjadikan Perpustakaan Awam Sungai Udang yang terletak hanya 30 meter dari rumahnya sebagai ‘rumah keduanya’ bukan hanya tahun lalu, bahkan sejak dia berusia enam tahun.
Membesar sebagai anak tunggal juga menjadikan Alif lebih dekat dengan buku, kerana lebih memilih untuk menghabiskan masa terluangnya dengan membaca.
“Tahun lalu, saya meminjam sekitar 20 buah buku sehari. Sejak kecil lagi, meminjam puluhan buku sudah menjadi rutin harian saya.
“Kebiasaannya, buku-buku yang dipinjam itu akan dibaca selepas saya menyiapkan kerja sekolah memandangkan pada waktu itu sahaja saya mempunyai kelapangan,” katanya.
Bahkan, Alif turut berkongsi bahawa ramai rakan-rakannya tidak percaya serta tidak menyangka dia sebenarnya membaca buku sebanyak itu.
“Untuk kemenangan ini, tidak ramai orang sekeliling yang menegur atau memberikan komen terhadap minat membaca saya, memandangkan mereka sendiri barangkali tidak sedar jika saya sebenarnya membaca buku sebanyak itu (lebih 1,300 buah buku setahun),” jelasnya.
Alif turut berkongsi bahawa memandangkan di rumah dia tidak mempunyai rak buku, maka dia kerap meminjam buku dari perpustakaan bagi memudahkannya untuk terus mendapatkan koleksi buku-buku yang diminati dan memulangkannya setiap hari.
Jarak perpustakaan yang terlalu hampir dengan rumahnya juga memudahkan Alif untuk berulang-alik dari rumahnya ke perpustakaan dengan kerap untuk terus meminjam dan memulangkan buku-buku yang dibaca.
Mengulas tentang genre buku kesukaannya, remaja itu memberitahu dia amat tertarik dan menyukai buku sains fiksyen, thriller dan juga genre seram.
Alif turut mendedahkan bahawa amalan membaca telah banyak membantunya dalam pelajaran, khususnya apabila perlu menyiapkan tugasan seperti menulis esei.
“Minat ini telah membantu saya dalam pelajaran seperti menyiapkan esei dan karangan di sekolah.
“Selain itu, saya juga rasa lebih yakin untuk bercakap dengan orang luar, memandangkan susunan ayat dalam buku-buku yang saya baca menjadikan percakapan saya lebih tersusun dan lancar,” katanya.
Alif yang merupakan anak kepada seorang penghantar makanan itu juga menambah, dia melihat minat membaca sebagai sesuatu yang cukup penting untuk dipupuk sejak usia muda memandangkan ia membantu menambahkan lagi ilmu pengetahuan.
“Saya rasa penting untuk kita tanam minat membaca ini sebab membaca boleh membuatkan kita lebih berpengetahuan,” katanya.
Sempat berkongsi tentang perancangannya membabitkan hadiah wang tunai RM1,000 yang dimenangi dek kerana ‘kegilaan’ membacanya, Alif berkata, dia mahu menyimpan wang itu untuk kegunaan kecemasan kelak.
“Seronok apabila menang wang tunai. Buat masa ini, saya merancang untuk menyimpan dahulu wang itu.
“Ini kerana, kita tidak tahu apa yang akan jadi kelak maka saya fikir lebih baik wang kemenangan itu disimpan untuk kegunaan yang lebih penting,” katanya mengakhiri bicara.














