BANDAR RAYA MEXICO – Pihak berkuasa Mexico semalam mengumumkan rampasan hampir 42 tan metrik methamphetamine bernilai lebih AS$50 juta (RM211.7 juta) dalam serbuan ke atas beberapa makmal dadah rahsia.
Penemuan itu, salah satu yang terbesar setakat ini, berlaku ketika Mexico berdepan peningkatan tekanan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya membendung pengedaran dadah.
Rampasan dilakukan selepas polis menyerbu lima hartanah yang digunakan sebagai makmal rahsia di negeri Michoacan, kata polis dalam satu kenyataan.
Rampasan itu menyebabkan kartel-kartel dadah rugi AS$55.7 juta (RM235.9 juta).
Beberapa tong berisi kira-kira 8,800 liter bahan kimia untuk menghasilkan dadah turut dirampas bersama bahan pengeluaran narkotik lain, katanya.
Mexico menonjolkan beberapa rampasan dadah utama dalam usaha menguar-uarkan peningkatan usahanya memerangi penyeludupan dadah kepada Washington.
Trump sebelum ini menjadikan pengedaran dadah, terutamanya opioid sintetik fentanyl, sebagai sebab utama beliau mengenakan tarif tinggi ke atas import dari Mexico.
Pada Oktober 2024, tentera laut Mexico mengumumkan rampasan lebih 8.3 tan dadah yang ditemui di dalam beberapa buah kapal di luar pantai Pasifik.
Kumpulan-kumpulan penjenayah Mexico menjadi pembekal utama methamphetamine ke AS, menggunakan bahan kimia yang kebanyakannya diperoleh dari China. – AFP