TANGKAK – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dengan cara mengelar leher mangsa di Taman Cahaya, Bukit Gambir di sini, minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Khairul Azmi Ithnin, 33, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Lee Kim Kiat.
Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Khairul dituduh membunuh isterinya, Iecah Junus, 33, antara pukul 3.30 petang hingga 5.30 petang, pada 2 Jun 2025 di Taman Cahaya.
Oleh itu, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Amirah Sapian sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan tarikh 8 Julai ini bagi keputusan ujian patologi dan DNA.
Terdahulu, suspek tiba di pekaranqgan mahkamah pada pukul 8.30 pagi dengan memakai baju lokap berwarna ungu dan dikawal ketat anggota polis dari bahagian siasatan jenayah.
Sejurus keluar dari mahkamah, suspek hanya tersenyum sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) menuju ke Mahkamah Sesyen Muar bagi berdepan sembilan lagi pertuduhan bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, tertuduh akan didakwa di Mahkamah Sesyen Muar hari ini mengikut Seskyen 435 kerana melakukan khianat dengan api dengan membakar sembilan buah kenderaan.
Perbuatan itu dilakukan lelaki itu di pekarangan rumah mentuanya di Kampung Pengkalan Kampung Durian Chondong, di sini 3 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE