KOTA BHARU – “Abah sepatutnya memandu bas itu bersama rakannya, namun dia terpaksa menolak untuk mengambil tugas itu kerana ada hal keluarga.”
Itu kata Noraini Mat Seman iaitu anak kepada Mat Seman Che Lah yang sepatutnya menjadi pemandu bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebelum terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pagi tadi sehingga mengorbankan seramai 15 mangsa.
Noraini berkata, bapanya terpaksa menolak tugas tersebut kerana mahu menghantar dia bersama anak-anak pulang ke Kuala Lumpur selepas menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung.
“Abah ada memaklumkan bahawa pihak pengurusan bas pada awalnya meminta dia dan seorang lagi rakan untuk bertugas. Abah tidak dapat memenuhi permintaan itu kerana dia perlu menghantar saya pulang ke Kuala Lumpur malam tadi.
“Rakan abah juga tidak boleh bertugas kerana ada kenduri. Biasanya, abah dan rakannya yang bawa bas tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Noraini memberitahu, dia dan bapanya mengetahui mengenai nahas tersebut selepas menerima panggilan daripada adiknya pagi tadi.
Katanya, bapanya terkejut selepas dimaklumkan bas yang sepatut dipandu lelaki itu terbabit dalam kemalangan.
“Abah merupakan pemandu kedua dan sudah lama bekerja dengan syarikat berkenaan. Sebelum itu abah pemandu bas sekolah. Abah beritahu bas tersebut merupakan kenderaan baharu yang digunakan antara tiga hingga empat tahun,” ujarnya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, seramai 15 individu dilaporkan maut dalam nahas melibatkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding di sini pagi tadi. – KOSMO! ONLINE