PETALING JAYA – Polis menganggarkan tempoh bedah siasat ke atas 15 mayat pelajar UPSI akan mengambil masa agak lama untuk diselesaikan sepenuhnya.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sebagai contoh, nahas mengorbankan sembilan anggota FRU yang berlaku pada awal bulan lalu mengambil masa selama lapan jam bermula pukul 3 petang untuk selesai.
“Hospital Gerik tidak mampu menampung jenazah yang ramai. Ia akan dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Bainun di Ipoh kerana fasilitinya lebih banyak dan luas.
“Saya telah dihubungi oleh Pengarah Kesihatan Perak bagi memaklumkan perkara itu,” katanya pada sidang akhbar di Ipoh sebentar tadi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE