GEORGE TOWN – Mengurus dan membesarkan anak-anak bukanlah satu tugas mudah, lebih-lebih lagi jika zuriat yang dilahirkan itu mempunyai masalah kesihatan dan tergolong dalam kategori orang kelainan upaya (OKU).
Namun bagi sesetengah ibu bapa, mereka sebenarnya layak digelar ‘wira’ atas segala penat lelah dan pengorbanan yang ditempuh semata-mata mahu memastikan anak-anak OKU mendapat kasih sayang seadilnya.
Pengorbanan itu tidak hanya berkisar tenaga dan masa yang dihabiskan, tetapi ada juga ibu bapa yang sanggup berkorban wang ringgit selain berhenti kerja demi menguruskan anak istimewa.
Bagi Siti Faizah Abu Bakar, 39 yang merupakan ibu kepada tiga anak, dia dan suaminya, Muhammad Rodzi Haron, 49, sentiasa reda dengan ketentuan Allah selepas dikurniakan dua cahaya mata OKU yang dianggap sebagai anugerah paling terindah buat mereka sekeluarga.
Katanya, anak sulung mereka, Muhammad Adib Rayyan Muhammad Rodzi, 11, telah didiagnosis ‘mild autisme’, manakala Siti Aishah Fatimah yang baharu berusia empat tahun mengalami masalah penglihatan.
“Kami tidak sedikitpun rasa kesal dan malu dengan kurniakan ini (anak OKU), malah kehadiran mereka lebih mengajar kami erti kehidupan dan kasih sayang sebenar.
“Awalnya dulu saya kerap menangis bila dengar orang cakap lebih baik tiada anak daripada dapat anak OKU. Tetapi hari ini, kata-kata itu telah menjadi penguat untuk saya dan suami membesarkan mereka.
“Mereka tetap anak kami. Kami tepis perasaan malu, pandangan serong segelintir masyarakat apabila kami bawa anak-anak ini keluar berjalan. Merekalah hadiah teristimewa buat kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Padang Tembak, Air Itam, George Town baru-baru ini.

Siti Faizah yang bekerja sebagai jururawat di sebuah klinik kesihatan di daerah Timur Laut berkata, suaminya juga sanggup berkorban kerjaya demi menguruskan anak-anak terutama si bongsu yang memerlukan perhatian rapi.
“Siti Aishah ketika dilahirkan mengalami pelbagai komplikasi kesihatan iaitu masalah penglihatan, paru-paru kronik dan jantung serta masih menggunakan bantuan alat pernafasan.
“Disebabkan itu, suami yang sebelum ini bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Bayan Lepas sanggup berhenti kerja pada tahun 2021 demi menguruskan anak-anak sampai sekarang.
“Saya percaya, tiada pengasuh yang sanggup menjaga anak kami, anak istimewa yang perlukan jagaan rapi dan kasih sayang sepenuhnya. Alhamdulillah, suami
dapat menggalas tugas itu dengan sebaiknya, lebih daripada saya,” katanya.
Jelas Siti Faizah, meskipun suaminya tidak bekerja, namun pasangannya itu tetap berusaha membantu menampung kewangan harian keluarga dengan mengambil upah melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik dan membuat karipap serta apam.
Di Shah Alam, Selangor, seorang ibu berusia 54 tahun tidak pernah mengenal erti penat lelah demi menjaga anak sulungnya yang terlantar akibat penyakit cerebral palsy sejak 33 tahun lalu.
Kata Sabariah Ahmad, 54, ini merupakan tanggungjawab dalam menjaga amanah yang diberikan Allah selain kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada Mohammad Faizal Abdullah, 33.
“Tiada seorangpun ibu mahu melihat anaknya sakit dan tidak selincah seperti anak-anak lain di dunia ini.
“Mohammad Faizal merupakan anak pertama daripada perkahwinan saya yang pertama. Dia dilahirkan normal, namun diserang sawan akibat demam panas pada usia mencecah lapan bulan.
“Semasa dia mula sakit, kami sekeluarga tinggal di Segamat, Johor sebelum berpindah ke Selangor 20 tahun yang lalu. Memang beginilah keadaannya yang hanya terlantar depan televisyen,” katanya ketika ditemui di pangsapuri Ken Rimba di sini.
Suri rumah itu memaklumkan, penjagaan bulanan Mohammad Faizal hanya menelan kos RM200 melibatkan lampin pakai buang dan ubat-ubatan.
“Alhamdulillah, Mohammad Faizal senang dijaga cuma bila demam, dia akan merengek, Makanan kegemarannya pula ayam goreng. Selain itu, dia makan apa yang kita makan cuma jangan pedas.
“Rutin harian penjagaan pula bermula seawal pukul 6 pagi dengan memandikannya dan keperluan lain sebelum tidur pada pukul 10 malam,” katanya.
Jelasnya, dia telah berkahwin semula pada 2017 yang mana pasangannya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Sabariah juga mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia 15 tahun yang bersekolah di sekolah menengah di kawasan perumahan tersebut.
“Kadang-kadang menangis juga apabila mengenangkan nasib Mohamad Faizal terutama sekiranya saya tiada nanti.
“Namun, inilah perjuangan dan pergorbanan yang perlu saya lalui dan reda mengenainya,” katanya yang turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan
Masyarakat dan Lembaga Zakat Selangor.














