PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberi penjelasan dan menyemak tindakan melarang aktivis kontroversi, Mohd. Fahmi Reza Mohd. Zarin ke luar negara.
Menurut kenyataan ringkas yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, isu itu menimbulkan persoalan serius tentang hak kebebasan individu di bawah kerajaan Madani.
“Perdana Menteri telah mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara untuk menyemak isu larangan ke luar negara yang dikenakan terhadap saudara Fahmi Reza.
“Kerajaan Madani menjunjung tinggi kebebasan individu selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada. Oleh itu, PDRM perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini,” katanya hari ini.
Terdahulu, Mohd. Fahmi mendakwa dia disekat daripada ke luar negara ketika ingin menaiki penerbangan ke Singapura semalam.
Katanya, pegawai imigresen memaklumkan bahawa larangan itu datang dari Bukit Aman, namun tiada sebab rasmi diberikan.
Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam satu kenyataan menjelaskan tiada sebarang sekatan rasmi dikenakan terhadap Mohd. Fahmi bagaimanapun aktivis tersebut telah dimasukkan ke dalam senarai pemantauan pergerakan bagi tujuan rekod dan rujukan dalaman pihak PDRM. – KOSMO! ONLINE