PETALING JAYA – Beberapa akaun kumpulan Facebook dikesan menawarkan khidmat ‘cina buta’ secara percuma bagi membantu lelaki gila talak mendapatkan semula bekas isteri yang masih mereka sayangi selepas diceraikan dengan talak tiga.
Khidmat sebagai suami sementara mengikut kontrak itu ditawarkan kepada rakan-rakan kenalan dalam akaun kumpulan Facebook tersebut selepas mendapat persetujuan bekas isteri.
Seorang lelaki ‘cina buta’ yang enggan dikenali berkata, dia pernah bernikah dengan bekas isteri kenalannya kira-kira 20 tahun lalu secara sah selepas wanita itu diceraikan suaminya dengan talak tiga.
Menurutnya, dia tidak mengambil sebarang upah kerana niatnya hanya untuk membantu lelaki yang benar-benar menyesal dengan tindakan terburu-buru mereka itu.
“Selepas berbincang, kedua-dua pasangan itu bersetuju dan saya bernikah dengan bekas isterinya dalam tempoh beberapa minggu sahaja sebelum saya ceraikan wanita tersebut,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Lelaki berusia 50-an berasal dari Kedah itu memberitahu, dia kini juga membantu mendapatkan lelaki lain yang boleh menjadi ‘cina buta’ untuk pasangan yang memerlukan.
Sementara itu, seorang lagi ‘cina buta’ yang ingin dikenali sebagai Zam, 40, berkata, dia juga berpengalaman menjadi ‘cina buta’ kira-kira tiga tahun lalu selepas sepasang bekas suami isteri menghubunginya di akaun Facebook berkenaan.
Katanya, pasangan itu mahu dia menjadi ‘cina buta’ supaya mereka boleh bersatu semula.
“Saya kemudian bersetuju untuk bernikah dengan bekas isteri lelaki terbabit pada tahun 2018 dan perkahwinan kami selama sebulan sahaja mengikut ‘kontrak’ ditetapkan.
“Selepas tempoh itu, saya bersetuju untuk menceraikannya seperti yang dijanjikan supaya dia dapat kembali bersama bekas suaminya,” kata Zam.
Zam yang berasal dari Perak mendakwa, niatnya antara lain adalah untuk membantu pasangan yang memerlukan dan dia tidak meletakkan sebarang upah atas bantuan yang diberikan itu.
Kedua-dua ‘cina buta’ itu mendedahkan bahawa mereka turut ‘menyentuh’ bekas isteri rakan yang dikahwini itu sepanjang tempoh kontrak perkahwinan.
Dalam pada itu, kaunselor keluarga, Hushim Salleh berkata, tindakan tersebut sering dilakukan oleh pasangan yang tiada pilihan lain untuk mereka kembali bersatu sebagai suami isteri.
“Sebab itu dalam Islam, jika bergaduh, suami yang ingin menceraikan isteri perlu berfikir banyak kali, jangan sampai terus lafaz talak tiga. Itu yang jadi gila talak dan terpaksa melalui perkara yang leceh ini.
“Oleh itu, sesi kaunseling amat penting untuk pasangan yang sedang bersengketa. Jika ada apa-apa perselisihan, seelok-eloknya pergi dapatkan kaunseling, kita cuba sedaya-upaya mengharmonikan semula rumah tangga,” ujarnya.-K! ONLINE














