KUALA LUMPUR – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyumbangkan sebanyak 81 ekor lembu korban kepada masjid, surau dan persatuan penduduk di kawasan Parlimen Titiwangsa sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Menurut Johari, program ibadah korban itu merupakan inisiatif tahunan bertujuan membantu masyarakat setempat, khususnya golongan asnaf.
“Hari ini saya bersama penduduk di Masjid Ar-Rahimah, salah satu kawasan dalam Parlimen Titiwangsa. Seperti biasa, setiap kali Aidiladha, kita akan adakan majlis korban di setiap kawasan.
“Saya menyumbang kira-kira 81 ekor lembu untuk diagihkan di seluruh masjid dan surau bersama persatuan-persatuan penduduk.
“Terima kasih juga kepada Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. yang turut serta menyumbang,” katanya ketika ditemui media di Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang Sdn. Bhd., Mohd. Jazri Ikmal Hijaz memaklumkan pihaknya menginfakkan dua ekor lembu sado baka Charlois dengan anggaran berat hidup mencecah 1 tan seekor.
“Lembu ini disumbangkan melalui kerjasama bersama ikhlas.com, anak syarikat di bawah Airasia.com yang menyediakan perkhidmatan mengikut syariah Islam,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya menyasarkan untuk mendapatkan 1,000 kilogram daging korban untuk diagihkan kepada penerima asnaf.
“Setiap orang akan menerima satu kilogram daging bersama satu botol produk Mahsuri seperti sos tiram atau kicap lemak manis,” ujarnya.
Menurut Mohd. Jazri, ini merupakan kali pertama Masjid Ar-Rahimah menguruskan sembelihan lembu sado, sekali gus memberi pengalaman mencabar namun menyeronokkan kepada petugas.
Katanya, program korban itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Mahsuri Dagang dalam usaha membantu golongan memerlukan, khususnya sempena sambutan Aidiladha. – KOSMO! ONLINE