SEBERANG PERAI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri mengesahkan tiada mangsa terlibat dalam insiden letupan gas di Lengkok Perindustrian Bukit Minyak 2, Bukit Mertajam di sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.46 petang.
Katanya, operasi menyelamat melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda diketuai Komander Operasi, Hirwan Hassan dengan dibantu Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Sungai Bakap.

“Berlaku satu letupan dalam tanah berdekatan dengan saluran pembetung (sewer). Komander Operasi Hazmat melaporkan cecair dalam pembetung mencatatkan bacaan ‘neutral’.
“Pembetung itu merupakan saluran kumbahan milik Indah Water Konsortium (IWK) dan kejadian dimaklumkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya di sini sebentar tadi.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4.38 petang tadi. – KOSMO! ONLINE