KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menemui mayat seorang lelaki di sekitar Bangsar, di sini, kira-kira pukul 5 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, bagaimanapun identiti mangsa belum dikenal pasti.
“Kita tidak dapat pastikan sama ada mayat berkenaan merupakan lelaki warga United Kingdom yang dilaporkan hilang sebelum ini.
“Kes masih dalam proses siasatan dan kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan kehilangan lelaki warga British ketika melakukan aktiviti mengembara secara berseorangan di ibu negara sejak 27 Mei lalu.
Mangsa, Jordan Johnson-Doyle yang berusia 25 tahun, dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di sebuah premis hiburan di kawasan Bangsar.
Jordan dipercayai tiba di Malaysia pada 17 Mei selepas menjelajah beberapa negara di Asia Tenggara dan menetap sementara di sebuah residensi di sekitar Bukit Bintang. – KOSMO! ONLINE