PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar mewakili Kerajaan Madani mendoakan semoga Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah serta seluruh Kerabat Diraja dikurniakan keafiatan berpanjangan serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah.
“Semoga Baginda Tuanku kekal qarar memayungi negara dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara.
“Ia seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini,” tulisnya.
Anwar berkata beliau dan rakyat sekalian akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan. – KOSMO! ONLINE