fbpx

Larian Wira LTAT 2025 tarik 10,000 penyertaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Larian Wira LTAT 2025 tarik 10,000 penyertaan, malam semalam.

PETALING JAYA – Program Larian Wira 2025 – Night Run anjuran Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Dataran Wawasan, Putrajaya, malam semalam berjaya menarik 10,000 peserta.

Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin berkata, acara yang bertemakan ‘Demi Wira Kami’ itu bertujuan untuk menghargai pengorbanan anggota Angkatan Tentera (ATM) yang berjuang demi kedaulatan negara selain menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

Menurut beliau, acara pada tahun ini lebih bermakna apabila LTAT berganding bahu dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM memperluas hebahan mengenai Tabung Pahlawan bagi membolehkan rakyat Malaysia menyumbang.

“Salah satu tumpuan utama acara ini adalah hebahan terhadap pengumpulan dana untuk Kempen Tabung Pahlawan yang dianjurkan oleh JHEV ATM.

“Dana ini akan disalurkan kepada veteran ATM meliputi mereka yang terlantar sakit, kurang upaya, dan warga emas yang hidup bersendirian,” katanya menerusi kenyataan.

Edisi khas acara ini julung kali diadakan pada waktu malam dengan mengetengahkan tiga kategori larian iaitu 5 kilometer (km) bagi kategori Fun Run, 10 km dan 21.1 km (half marathon).

Lebih menarik, segmen Fun Run 5 km turut disertai oleh 22 orang kanak-kanak istimewa dari Incredible Warrior Club.

Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi meluahkan rasa syukur dan bangga di atas sambutan luar biasa terhadap penganjuran program berkenaan.

“Larian Wira 2025 Night Run membuktikan penghargaan rakyat kepada wira negara tidak pernah pudar. LTAT komited menjadikan Larian Wira sebagai platform yang memperkukuh ikatan antara masyarakat dan ATM,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI