MANCHESTER – Sikap tidak bermuka-muka diamalkan pengurus Manchester United, Ruben Amorim disambut baik pemain pertahanan, Matthijs de Ligt yang menganggap ia akan memberi kelebihan buat pasukan itu.
Sejak tiba di Old Trafford pada November tahun lalu, pengendali dari Portugal itu berdepan tempoh cukup sukar apabila menyaksikan United menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ke-15.
Amorim juga secara terbuka mengkritik rakan sepasukannya apabila menganggap skuad kendaliannya merupakan pasukan terburuk dalam sejarah United yang sering dianggap antara kelab terbaik dunia.
“Saya dari Belanda, jadi pendekatan beliau yang bercakap tanpa ‘ditapis’ merupakan satu perkara positif. Bagi saya, bukan satu masalah besar apabila jurulatih bercakap secara terus dengan pemain.
“Saya faham pihak media agak terkejut dengan pendekatan beliau kerana ia jarang berlaku di sini. Bagaimanapun, saya gembira kerana ada orang bercakap perkara yang betul tanpa rasa takut,” kata De Ligt.
Amorim juga tanpa berselindung mengakui beliau kecewa dengan aksi ditampilkan barisan pemainnya ketika tewas 0-1 kepada ASEAN All Stars pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur minggu lalu.
“Bagi saya, adalah satu penghargaan apabila mendapat teguran daripada jurulatih seperti beliau. Ia membuatkan kami saling percaya antara satu sama lain dan sangat penting untuk pasukan,” tambah pemain Belanda itu. – AGENSI