fbpx
Demonstrasi seni telepuk berlangsung di Taman Tugu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Telepuk, sentuhan emas dalam warisan diraja Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERMUKAAN fabrik digerus atau digosok menggunakan siput gerus supaya menjadi licin dan rata.

Setelah itu, gam Arab dicairkan menggunakan api sebelum disapukan pada pergelangan tangan dengan ketebalan yang tepat.

Kemudian, blok kayu yang mempunyai motif yang dikenali sebagai sarang tepuk ditekapkan pada gam tersebut.

Setiap bucu sarang tepuk hendaklah menyentuh gam agar coraknya dapat dipindahkan dengan sempurna.

Blok kayu yang telah dilapisi gam kemudian ditekap ke atas fabrik yang telah disiapkan.

Proses seterusnya melibatkan penekapan serbuk emas atau foil ke atas fabrik yang bergam.

Setelah serbuk ditekap, lebihan serbuk akan disapu atau ditiup supaya hanya bahagian bergam yang mengekalkan serbuk tersebut.

Akhir sekali, fabrik dibiarkan kering sebelum melalui proses kemasan akhir bagi mendapatkan hasil yang lebih kemas dan tahan lama.

Akhirnya, corak tepuk akan kelihatan timbul dengan kilauan emas yang menyerlah pada permukaan fabrik.

Teknik unik bernama seni telepuk tersebut bukan sahaja menambah nilai estetik, malah memberikan sentuhan mewah dan eksklusif kepada fabrik.

Menurut artisan Telepuk Ratib Alami, Nur Fatimah Mohamed Rashidi, seni telepuk merupakan warisan diraja Melayu sejak abad ke-17 yang melibatkan hiasan kain menggunakan emas tulen.

“Dulu, hanya sultan dan kerabat rapat yang boleh membuat dan memegang telepuk kerana penggunaan emas tulen menjadikannya lambang eksklusif.

“Ia tidak boleh dimiliki atau digunakan oleh orang kebanyakan. Jadi, jarang orang awam tahu mengenai seni ini,” katanya kepada CitaRasa.

Orang ramai turut berminat mencuba seni yang diketengahkan.

Nur Fatimah ditemui ketika membuat demonstrasi Seni Telepuk kepada orang awam sempena program Celebrate Arts anjuran Yayasan Hasanah di Taman Tugu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk pengetahuan, seni telepuk dipercayai diperkenalkan oleh pedagang Bugis dari Sulawesi pada abad ke-17 atau ke-18.

Ia menjadi simbol eksklusif diraja di negeri-negeri seperti Riau-Lingga, Johor, Selangor, Pahang dan Terengganu.

Kemuncak pemakaian telepuk berlaku dalam pemerintahan Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj (1938-1942 dan 1945-1960).

Baginda dan Permaisuri Tengku Ampuan Jema’ah Raja Ahmad menggiatkan semula seni tersebut.

Bengkel menelepuk dibangunkan dengan pesat, malah Istana Selangor serta kerabat diraja turut menghasilkan sendiri kain telepuk.

Sultan Hisamuddin pula mengenakan persalinan Baju Layang yang dihiasi telepuk bermotif pucuk rebung, bunga dan dedaun ketika pertabalan pada tahun 1939 di Astana Mahkota Puri Klang.

Pada masa kini, seni telepuk menghiasi pelbagai busana tradisional seperti selendang, baju kurung, kebaya, tanjak dan baju sikap dengan nilainya mampu mencecah ribuan ringgit.

Kongsi Nur Fatimah lagi, penjagaan yang teliti adalah penting agar keindahan dan nilai estetika telepuk dapat dikekalkan untuk jangka masa panjang.

“Oleh kerana penggunaan gam dan serbuk emas yang sensitif, pakaian yang menggunakan seni telepuk tidak boleh dibasuh seperti pakaian biasa.

“Sebaliknya, ia perlu dijaga dengan rapi, jarang dipakai dan disimpan dalam keadaan kering bagi memastikan corak serta kilauan emas kekal utuh.

“Oleh itu, busana dengan seni telepuk hanya dipakai pada acara-acara besar sahaja seperti majlis istiadat dan majlis perkahwinan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN