fbpx
SKUTER SYM ADXTG 400 diedarkan oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. di Malaysia.

Skuter ‘adventure’ berkuasa untuk pengembaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini fenomena ‘perang skuter’ sedang berlaku di pasaran apabila banyak jenama motosikal memperkenalkan model skuter baharu mereka.

Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. (Mforce Bike) yang merupakan sebuah syarikat pengedaran motosikal jenama Taiwan, SYM di Malaysia juga tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan pasaran skuter dengan memperkenalkan model terbaharu mereka.

Melalui SYM Malaysia, mereka telah melancarkan SYM ADXTG 400, skuter ‘adventure’ terbaharu yang dicipta khas untuk penunggang yang mendambakan kuasa, pengembaraan dan keselesaan dalam sebuah jentera.

Skuter tersebut dikuasakan oleh enjin silinder tunggal, 4-lejang, SOHC 399cc dengan sistem penyejukan cecair dan menawarkan kuasa maksimum 25.7kW pada 7,000rpm dan tork 37.2Nm pada 5,500rpm.

Selain itu, SYM ADXTG 400 juga disertakan dengan gabungan sistem suntikan bahan api elektronik jenis Closed Loop EFI, piston dan lejang 83mm x 73.8mm serta nisbah mampatan 10.5:1 menjadikan prestasinya responsif serta efisien dalam pelbagai situasi tunggangan.

Ia turut menggunakan transmisi automatik CVT dengan klac automatik yang memudahkan tunggangan tanpa pertukaran gear secara manual.

Berbanding skuter lain dalam segmennya, apa yang menarik tentang SYM ADXTG 400 ini adalah sistem penghantaran kuasa terakhir daripada enjin ke tayar belakang pula menggunakan rantai.

Malah, kedudukan enjinnya yang berada pada bahagian tengah juga meningkatkan kestabilan khususnya pada permukaan jalan tidak rata.

Bagi meningkatkan aspek keselamatan, SYM ADXTG 400 turut mengandungi fungsi TCS dan Sistem Brek Antikunci (ABS) di bahagian depan dan belakang.

Skuter ini dilengkapi dengan sistem brek cakera tunggal hadir di kedua-dua roda, dengan cakera berdiameter 275mm di hadapan dan 233mm di belakang, memberikan kuasa cengkaman yang cemerlang dan stabil.

Digandingkan dengan tayar tanpa tiub bersaiz 120/70 untuk rim 15 inci di hadapan dan 150/70 bagi rim 14 inci di belakang, SYM ADXTG 400 memberikan cengkaman terbaik di pelbagai jenis permukaan jalan.

Selain itu, sistem pelinciran jenis ‘forced circulation’ dan ‘splash lubrication’ memastikan enjin sentiasa berada dalam keadaan optimum dengan pengedaran minyak yang konsisten.

Untuk pengendalian terbaik, SYM ADXTG 400 turut dilengkapi dengan suspensi hadapan jenis fork teleskopik 140mm dan suspensi belakang monoshock 115m.

Reka bentuk casis paip jenis ‘underbone’ yang diperbuat daripada keluli memberikan ketahanan struktur dan kestabilan semasa membelok mahupun di lebuh raya.

Dalam masa yang sama, SYM ADXTG 400 didatangkan dengan pelbagai teknologi canggih, termasuk pelindung angin boleh laras untuk keselesaan optimum. Ia turut dilengkapi sistem kunci pintar dengan reka bentuk moden dan praktikal.

Tambahan lagi, dua unit ‘handguard’ ataupun perlindungan tangan disediakan bagi melindungi tangan daripada ranting kecil dan batu ketika tunggangan.

Dari segi dimensi, skuter ini berukuran 2,166mm panjang, 920mm lebar dan 1,460mm tinggi dengan jarak roda 1,535mm.

Skuter ini turut dilengkapi suspensi hadapan jenis fork teleskopik.

Ketinggian tempat duduk adalah 790mm, menjadikannya selesa untuk kebanyakan penunggang kerana tidak terlalu tinggi.

Berat motosikal ini ialah 213kg dan ia mungkin agak sedikit berat bagi sesetengah penunggang yang bertubuh kecil.

Sementara itu, kapasiti tangki bahan apinya ialah 13 liter, sesuai untuk perjalanan jarak jauh tanpa perlu kerap berhenti untuk mengisi minyak.

Bagi aspek pencahayaan, model ini lengkap dengan lampu hadapan, lampu isyarat, lampu brek dan belakang LED yang memastikan tahap keterlihatan maksimum, siang atau malam.

Prestasi pencahayaan yang terang turut menyumbang kepada keselamatan penunggang.

Dalam pada itu, SYM ADXTG 400 turut dilengkapi panel meter LCD yang memaparkan instrumen-instrumen penting dengan jelas.

Skuter ini turut dipasang sistem pencucuhan transistor penuh memastikan enjin dapat dihidupkan dengan lancar dan pantas beserta bateri berkapasiti 12V 8.6Ah.

Reka bentuk ergonomik turut diserlahkan menerusi ruang penyimpanan bawah tempat duduk berkapasiti 32 liter yang mampu menyimpan keperluan harian atau peralatan menunggang. Ruang penyimpanan itu muat untuk menyimpan sebuah helmet.

Sistem penghantaran kuasa terakhir daripada enjin ke tayar belakang pula menggunakan rantai.

Jika inginkan lebih ruang penyimpanan, skuter ini juga boleh dipasang kotak barangan tambahan pada bahagian belakang motosikal.

Dari segi keselamatan dan gaya, SYM ADXTG 400 menyampaikan segala yang diperlukan oleh penunggang moden daripada rekaan casis yang kukuh, suspensi yang stabil, hinggalah kepada sistem pencahayaan dan paparan moden.

Model ini direka sebagai gabungan praktikaliti, kuasa dan penampilan premium yang sebenar.

Malah, skuter ini juga sesuai untuk penunggang yang mahukan sebuah motosikal yang boleh ditunggang setiap hari untuk pergi dan pulang kerja. Skuter ini tidak terlalu besar dan mudah untuk dikendalikan di jalan raya yang sesak.

Skuter ini juga selesa untuk perjalanan jauh pada hujung minggu dan boleh menempuh permukaan jalan yang mencabar.

SYM ADXTG 400 hadir dalam tiga pilihan warna iaitu kelabu gelap, putih dan kelabu yang ditawarkan pada harga RM29,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN