PANORAMA deretan pelbagai jenis kek terhias indah di atas meja panjang, bunga-bunga segar dan suasana santai di taman membangkitkan rasa teruja dalam hati wanita itu.
Selama ini, peminat kek, Nur Fathiah Roslan hanya berkesempatan mengamati acara ‘potluck’ kek atau turut dikenali sebagai kek piknik di luar negara menerusi skrin telefonnya saja.
Namun, siapa sangka pada petang itu, Nur Fathiah, 32, turut menjadi salah seorang peserta bagi program fenomena itu yang kini tercetus di tanah air.
Minatnya yang mendalam terhadap dunia kek telah mendorong dia tidak melepaskan peluang menyertai acara kek besar-besaran tersebut.
Acara dinamakan Cakenic 1.0 anjuran Vanillicious Baking Studio di Taman Botani Putrajaya pada 10 Mei lalu itu berjaya menghimpunkan 260 jenis kek yang dibawa oleh para peserta.
“Pada hari itu, saya buat kek Double Chocolate Cake. Saya gembira kerana kek yang saya bawa dapat dikongsi bersama orang ramai. Saya pun dapat merasa banyak jenis kek.
“Saya lihat kek tersusun begitu banyak sampai rambang mata mahu pilih yang mana satu dahulu. Saya tak pernah melihat kek sebanyak itu serentak di depan mata,” katanya kepada CitaRasa.
Berteraskan semangat perkongsian, ‘potluck’ kek adalah satu acara yang menghimpunkan peminat-peminat kek dengan masing-masing diwajibkan membawa satu biji kek.
Di situ kek akan disusun dan para peserta yang mengikutinya secara bayaran yuran tertentu kemudian berpeluang menikmati kek-kek yang tersedia dalam suasana santai.
Lokasinya sama ada di tempat terbuka atau tertutup, bergantung kepada penganjur.
Fenomena potluck atau piknik kek dikatakan tercetus di dunia sejak April 2024 apabila seorang pembuat kek amatur, Elisa Sunga, menganjurkan acara pertama di Potrero del Sol Park, San Francisco, Amerika Syarikat.
Acara dimulakan dengan harapan sederhana untuk 15 orang peserta ternyata menarik lebih 200 orang. Sejak itu, ia berkembang pesat menjadi fenomena global dengan acara diadakan di pelbagai bandar utama seperti Los Angeles, New York dan London.
Pada Mac lalu, satu acara di San Francisco berjaya mengumpulkan 1,387 kek sekali gus salah satu perhimpunan kek terbesar dalam sejarah.
Di Malaysia, penganjuran pertama dianjurkan empat rakan komuniti kek iaitu Nadia Halina Nasarudin dari Grey Cube, Amalina Jamil dari Jars by AJ, Nur Sarah dari Baking Junkie dan Tan U-Mae dari Bitter Sweet Empire serta pakar bidang makanan dan minuman, Julieann Ragojo pada 23 Februari lalu di bybybtterswt Cafe, Petaling Jaya, Selangor.
Kemudian, program besar-besaran yang dianjurkan di Taman Botani, Putrajaya ini pula menunjukkan perkembangan yang cukup hebat dan sambutan memberangsangkan daripada peminat-peminat kek.
Sebanyak 260 kek dipersembahkan di acara tersebut yang bertemakan Pastel, Floral dan Picnic.
Kongsi Nur Fathiah, dia mengetahui mengenai program di Taman Botani tersebut melalui media sosial.
“Untuk menyertainya, saya segera menempah tiket yang berharga RM68 setiap seorang. Saya difahamkan tiket telah habis dijual dalam beberapa minit sahaja,” katanya yang juga merupakan pemilik kedai Fuchibake.
Kongsi wanita dari Kajang, Selangor itu lagi, setiap pengunjung diberikan hanya lapan minit untuk memilih dan mengambil potongan kek daripada ratusan pilihan yang disediakan.
Ceritanya, biarpun terdapat kekeliruan oleh netizen tentang isu halal kek yang dibawa, namun aturan yang ditetapkan oleh penganjur boleh menjadi panduan pengunjung.
“Setiap kek perlu dilabel dengan nama peserta, nama kek dan bahan penting di dalam kek seperti tenusu, kekacang dan alkohol.
“Bagi saya, jika nama yang tertera adalah bukan Islam, elakkan ambil sekiranya was-was. Namun, majoriti yang hadir pada hari itu adalah orang Melayu,” katanya.

Sementara itu, berhubung program di Petaling Jaya yang terlebih dahulu berlangsung, Nadia Halina berkata, pihak penganjur memilih lokasi tertutup bagi memastikan semua kek dibawa peserta dalam keadaan terbaik.
“Cuaca panas boleh menyebabkan krim atau bahan kek lain mencair, manakala hujan pula berisiko jejaskan keseluruhan pengalaman peserta.
“Peserta sendiri banyak yang menyokong konsep indoor kami kerana kek tetap dalam keadaan baik dan kurang panas apabila berada di ruang berhawa dingin,” katanya.
Kejayaan penganjurannya yang dihadiri seramai 30 peserta itu telah mendorong empat rakan komuniti kek itu menganjurkan sekali lagi di Villa Rimba Flora Kota Damansara, pada 17 Mei lalu.
Untuk Cake Piknik 2.0, pihak penganjur menerima lebih 400 permohonan daripada individu berminat, namun, lokasi dipilih hanya mampu menampung seramai 200 orang.
Kongsi Nadia, para peserta tampil membawa kek yang unik dari segi rekaan antaranya bertemakan kebaya, kek menyerupai croissant serta kek yang menggabungkan tomato, krim keju dan herba.
Turut mencuri perhatian ialah kek bertemakan seni lukisan serta kek yang mempunyai lebih lima lapisan perisa.
“Para peserta diberi dua pusingan untuk mengambil kek. Kita tidak hadkan satu potong kek itu berapa besarnya, cuma kita ingatkan semua supaya berpada-pada jadi semua orang merasa,” katanya.
Tambah Nadia, pihak penganjur telah mula merancang edisi ketiga dan seterusnya termasuk jelajah Cake Picnic di negeri-negeri lain.
“Kami menerima banyak permintaan dan kolaborasi untuk menganjurkan Cake Picnic bersama.
“Sehingga kini, kami dalam perancangan untuk mengadakan beberapa penganjuran sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Bukan hanya di Lembah Klang, di Pulau Pinang, acara mini cake picnic juga telah dianjurkan oleh Puteri Anis Murfiqah Megat Muhammad Munir, 26, di Batterbeans Cafe, Kepala Batas pada 18 Mei lalu.
Penganjuran di Pulau Pinang mempunyai sedikit perbezaan kerana peserta boleh membawa seorang teman untuk menemani mereka ke acara tersebut.
Menurutnya, secara keseluruhan 30 kek dihidangkan daripada peminat-peminat kek yang bukan saja dari Pulau Pinang, bahkan turut datang dari Perak.
“Majoriti peserta bercerita mereka berjaga sehingga pukul dua hingga tiga pagi semata-mata untuk sediakan kek bagi acara mini cake picnic ini.
“Terdapat peserta yang datang dari sebelah pulau dan Parit Buntar yang perlu memandu selama lebih satu jam demi memeriahkan acara ini,” katanya.
Menurut Anis, penganjuran tersebut membolehkannya memperoleh banyak pengalaman berharga, termasuk peluang berkongsi pengalaman dan tip kek bersama para peserta.
“Saya sedar bahawa fenomena global ini bukan sekadar acara makan kek, tapi sebenarnya satu ruang untuk berkongsi, belajar dan sama-sama membina komuniti.
“Saya sangat bersyukur dan rasa lebih semangat untuk terus menganjurkan lagi acara sebegini bagi menampung permintaan orang ramai,” kata Puteri Anis.
















