PETALING JAYA – Kelab-kelab bola sepak di negara perlu mengamalkan pengurusan kewangan yang baik selain mengendalikan segala urusan secara profesional bagi menjamin kebajikan para pemain.
Penganalisis sukan, Profesor Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, pengurusan kelab bola sepak juga perlu diserahkan kepada mereka yang berkelayakan termasuk dalam soal pelantikan pegawai kewangan.
Katanya, pengurusan kelab perlu sedar bahawa kelab bola sepak yang mereka kendalikan ibarat sebuah ‘syarikat’ yang memasuki perniagaan dan sepatutnya boleh membawa keuntungan.
“Apabila sudah beralih daripada persatuan bola sepak (FA) ke kelab bola sepak (FC), pengurusan perlu tahu mereka sudah memasuki perniagaan bola sepak.
“Ini bukan lagi soal silaturrahim atau perpaduan semata-mata, tetapi ia kini adalah ‘football business’ yang bermatlamat menjana keuntungan.
“Jadi, pengurusan kelab itu mesti profesional sepenuhnya, sebagai contoh yang menguruskan kewangan ataupun akauntan mesti seseorang yang layak atau perlu ada sijil Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) misalnya,” katanya ketika kepada Kosmo! di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan muka depan Kosmo! semalam yang memaparkan mengenai nasib pemain-pemain bola susulan daripada isu tunggakan gaji.
Zulakbal berkata, kelab bola sepak juga perlu mempunyai satu badan atau pegawai yang bertanggungjawab memastikan kelab tersebut dapat menjana pendapatan sendiri.
“Perkara itu perlu diwujudkan bagi mengelak kelab-kelab bola sepak ini mengharapkan duit daripada kerajaan negeri semata-mata,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan terhadap kelab-kelab bola sepak yang gagal membayar gaji, beliau menyokong pendekatan tegas seperti penarikan lesen sekiranya didapati terdapat masalah pembayaran gaji pemain.
“Kalau gagal bayar gaji, lesen pertandingan perlu digantung.
“Itu sahaja jalan untuk memastikan kelab-kelab bola sepak mengambil serius soal tanggungjawab terhadap pemain-pemain mereka,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan isu tunggakan gaji dalam kalangan pemain bola sepak bukanlah isu baharu, malah telah menjadi ‘barah’ yang merosakkan sistem liga tempatan selain menjejaskan periuk nasi ramai individu berbakat besar.
Lebih malang lagi apabila kelab yang diwakili oleh pemain-pemain ini turut tidak dibenarkan beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), sekali gus menyebabkan ada dalam kalangan mereka hilang punca rezeki.
Situasi ini menyebabkan ada pemain yang nekad bersara awal sebagai pemain bola sepak profesional semata-mata mahu mencari rezeki lain bagi menampung keperluan keluarga selain untuk tujuan membayar hutang.
Salah seorang pemain yang melalui keperitan hidup gara-gara tidak dibayar gaji ialah bekas pemain kelab Kuala Lumpur Rovers FC (KL Rovers), Mohammad Gopi Rizqi, 36, apabila tunggakkan gaji yang dihadapinya sehingga kini masih tiada khabar berita.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, tunggakkan gaji lebih RM30,000 yang ‘sangkut’ dibayar kelab itu ibarat bayang-bayang yang belum tahu apakah kesudahannya.














