GEORGE TOWN – Seorang lelaki yang tular meragut wanita warga emas di Jalan Tembaga, Taman Greenview, Jelutong di sini semalam dicekup hari ini tidak sampai 24 jam selepas kejadian itu berlaku.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya mengesan satu video tular memaparkan kejadian ragut melibatkan penunggang motosikal lelaki.
Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 3.30 petang dan mangsa berusia 71 tahun membuat laporan polis kira-kira sejam kemudian.
“Sewaktu mangsa menunggang motosikal melalui Jalan Tembaga, dia ditarik seorang penunggang motosikal sebelum suspek melarikan rantai emas.
“Suspek berusia 29 tahun berjaya dicekup pada pukul 4 pagi tadi berhampiran Jalan Lim Khoon Huat,” katanya di sini hari ini.
Polis merampas pakaian dan motosikal yang digunakan suspek. Ujian air kencing menunjukkan lelaki positif dadah jenis THC dan benzo. Suspek direman selama tujuh hari sehingga 2 Jun ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini tular satu video berdurasi 11 saat memaparkan motosikal mangsa dan suspek terjatuh di tengah jalan. Suspek dilihat cuba mempertahankan diri ketika dipukul mangsa dipercayai dengan kasut. – KOSMO! ONLINE