PETALING JAYA – Bukan satu masalah yang besar buat pelakon Pablo Amirul andai bakal isterinya, Dr. Hana Rose kurang mahir dalam urusan dapur dan kerja rumah.
Pablo atau nama lengkapnya Amirul Hisyam Mohd Sakri, 40, sebaliknya berkata, dia bersedia memikul tanggungjawab dalam perihal rumah tangga apabila mereka berkahwin kelak.
Dia hanya meminta Dr. Hana hanya fokus pada kerjayanya sebagai doktor estetik.
“Tidak mengapa kalau awak tak pandai masak atau buat kerja rumah, sebab saya boleh urus semuanya tanpa masalah.
“Saya tetap sayangkan awak dan sanggup buat apa sahaja untuk wanita saya.
“Fokus sahaja pada kerjaya dan jenama diri awak, yang lain biar saya uruskan. Jangan fikir banyak-banyak dah, serah sahaja pada Allah untuk rezeki yang lebih baik,” katanya dalam hantaran TikTok.
Pelakon filem Polis Evo itu turut berkongsi momen memasak bersama dengan Dr. Hana, atas permintaan wanita itu sendiri.
“Katanya mahu rasa air tangan masakan Pablo, jadi dia minta ayam masak kicap.
“Hasilnya? Dia minta masak lagi lepas ini,” ujarnya.
Sebelum ini, Pablo memberitahu hubungan dia bersama Dr. Hana sudah mendapat restu keluarga.
Enggan membuang masa terlalu lama bercinta, mereka merancang untuk mendirikan rumah tangga apabila tiba waktu sesuai. – KOSMO! ONLINE