KOTA KINABALU – Malaysia kekal antara lima negara pengisar koko terbaik dunia.
Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan negara kini mengisar 370,000 tan biji koko setiap tahun.
“Malahan kita mempunyai pelbagai jenama produk koko yang dikenali di pasaran dan antarabangsa.
“Eksport koko dan produk berasaskan koko juga meningkat 29 peratus daripada 530,000 tan pada 2023 kepada sekitar 690,000 tan pada 2024 dengan nilai RM15 bilion.
“Hal ini secara keseluruhan menunjukkan kegiatan eksport koko Malaysia memperlihatkan peningkatan yang memberangsangkan,” katanya ketika berucap pada Pesta Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Isnin.
Sementara itu, Johari menyatakan kementerian melalui LKM terus komited berkaitan penanaman semula koko sebagai usaha merangsang kawasan tanaman dan meningkatkan pengeluaran koko. – KOSMO! ONLINE