SEREMBAN – Seorang bekas pensyarah terselamat daripada hukuman mati selepas dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian suaminya, tiga tahun lalu.
Hakim Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas tertuduh, Lau Seck Yan, 58, yang juga bekas calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada tahun 2018 mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berjalan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Januari 2022.
Terdahulu, pertuduhan asal tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibenarkan dipinda di bawah Seksyen 304(a) kanun sama.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menyebabkan kematian Poh Seng Hiap, 55, dengan niat menyebabkan kecederaan yang mungkin menyebabkan kematian.
Kesalahan dilakukan pada pukul 3.30 petang, 23 Januari 2022 di sebuah tumah di Rasah Kemayan Golf & Country Township, Seremban 2 di sini. – KOSMO! ONLINE