KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meletakkan harapan tinggi agar kedua-dua beregu lelaki utama negara mengekalkan prestasi cemerlang hingga ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) susulan kejayaan di Malaysia Masters 2025 semalam.
Kebangkitan beregu negara semakin menyerlah apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencipta sensasi apabila bertemu sesama sendiri pada final Masters Malaysia.
Dalam aksi di Axiata Arena, Wei Chong-Kai Wun mencipta kejutan apabila menewaskan bekas juara dunia itu dengan keputusan 21-12, 15-21, 21-16 untuk menamatkan kemarau 12 tahun kejuaraan beregu lelaki pada kejohanan berkenaan.
Hannah menyifatkan kejayaan tersebut sebagai petanda positif untuk masa depan sukan itu terutama membawa magis kejutan tersebut sehingga ke LA28.
“Semalam memang hari yang baik untuk badminton Malaysia. Kalau kita tengok prestasi atlet, terutamanya beregu lelaki, mereka semakin baik.
“Dengan adanya jurulatih baharu dan bantuan program Road to Gold (RTG), saya yakin kita boleh terus bantu mereka capai lebih banyak kejayaan.
“Harapan saya bila sampai Olimpik LA28 nanti, dua-dua pasangan negara masuk final. Jadi tak ada tekanan, pingat emas nak, perak pun kita nak,” katanya pada Pelancaran Kempen Video Kesedaran Belia Bebas Dadah di TGV Cinemas Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur hari ini.
Ditanya mengenai beregu profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang bakal merampas kedudukan nombor satu dunia selepas ini, Hannah tidak menyembunyikan rasa bangganya terhadap dua bintang itu.
“Sudah tentu saya gembira untuk Izzuddin dan Sze Fei. Keputusan sama ada kekal bersama BAM (Persatuan Badminton Malaysia) atau jadi pemain profesional perlu dibuat dengan pertimbangan menyeluruh.
“Kalau mereka dalam BAM, mereka ada rakan sepelatih yang bagus. Itu penting dalam latihan. Kalau di luar, kekurangan sparring boleh jejaskan prestasi,” katanya.
Hannah juga telah meminta Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk melihat semula ekosistem latihan dan pembangunan supaya pemain terbaik kekal dalam sistem tersusun di bawah BAM.
“Kalau boleh pemain ini tinggal bersama BAM supaya segala bentuk bantuan kerajaan boleh sampai kepada mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE