KEMAMAN – Seorang peniaga kek terkejut menemui seekor bangkai penyu dewasa di Pantai Penunjuk, Kijal di sini semalam.
Wan Shafirool Wan Salahuddin, 32, berkata, bangkai penyu betina tersebut dijumpai terapung di pesisir pantai peranginan terbabit pada pukul 4.30 petang.
“Waktu saya baru hendak membuka gerai untuk berniaga sebelum ternampak objek pelik terapung di bawa ombak di pesisir pantai.
“Pada mulanya saya ingatkan ia cuma batang kayu hanyut namun apabila didekati rupa-rupanya bangkai penyu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pantai Penunjuk, Kijal di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan keadaan bangkai tersebut, penyu seberat dianggarkan 130 kilogram itu dipercayai sudah mati beberapa hari lalu sebelum dihanyutkan ke pesisir pantai berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Terengganu, Pang Nyukang berkata, pihaknya percaya penyu yang ditemui Wan Shafirool itu bangkai reptilia sama dijumpai seorang pemajak pada pukul 2.30 petang semalam.
“Pemajak tersebut tidak sempat mengutip bangkai penyu terbabit sebelum ia dipercayai dihanyut arus hingga ke Pantai Penunjuk bersebelahan,” katanya ketika dihubungi di sini. – KOSMO! ONLINE