fbpx

Makin ramai belia terjebak bahan khayal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH

KUALA LUMPUR – Trend peningkatan penggunaan dadah dalam kalangan remaja semakin membimbangkan dan sukar dikawal selepas bahan khayal itu mudah diperoleh secara dalam talian dan bentuk yang sukar dikesan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, maklumat mengenai trend itu diperoleh selepas pihaknya bertemu dengan penagih dadah.

Katanya, pihaknya juga mengadakan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Agensi Antidadah Kerajaan (AADK) dan TGV Cinemas untuk membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia.

“Selepas kami melawat AADK dan pusat pemulihan, kami berbicara dengan belia yang terkesan. Ramai menyatakan mereka beli bahan ini secara ‘online’.

“Dadah yang diambil melalui suntikan tidak lagi relevan. Ia boleh ditemui dalam rokok elektronik secara mudah,” katanya.

TGV Cinemas yang sebelum ini menjalankan kempen video kesedaran mengenai pembuangan bayi kini akan berganding bahu dengan KBS dan AADK untuk membawa mesej antidadah secara kreatif kepada golongan belia.

Video kesedaran anti-dadah itu bakal ditayangkan di 40 lokasi pawagam TGV di seluruh Malaysia, kecuali Sabah, dan menyasarkan golongan belia yang menjadi majoriti penonton di pawagam.

“Video yang kami tayangkan ini membawa mesej sederhana, tetapi penting. Ia bertujuan menyedarkan belia tentang bahaya dadah dan pentingnya mendapatkan bantuan sebelum terjerumus lebih jauh,” katanya.

Statistik menunjukkan bahawa 60.9 peratus daripada individu yang mendapatkan rawatan atau ditahan berkaitan kes dadah adalah dari golongan belia. Trend ini turut disahkan oleh AADK dalam analisis data mereka bagi empat bulan pertama tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI