fbpx

Mimpi ‘jentik’ nurani Kris Lim peluk Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SAUFI LIM (kanan) ketika ditemui di Abraj Al Tayseer, Mekah baru-baru ini.

MEKAH – Tiada apa yang lebih didambakan oleh seorang lelaki berketurunan Peranakan Baba dan Nyonya apabila dia akhirnya dijemput menjadi tetamu Allah pada usia 71 tahun selepas memeluk Islam sejak 36 tahun lalu.

Mohd. Saufi Lim Abdullah apabila bercerita mengenai detik-detik dia berhijrah serta-merta jiwanya hiba kerana hanya ‘mengenali’ Islam pada usia 35 tahun.

“Sebak kerana satunya adalah kenapa tidak dari awal saya diberitahu Islam ini benar, Islam ini agama yang memberi harapan, yang kita dapat betulkan diri sendiri. Itu buat saya sebak kerana kesucian agama Islam itu sendiri.

“Agama Islam ini bukan ajaran tetapi sebagai cara hidup. Islam tunjukkan saya bagaimana mahu hidup sebagai manusia yang baik. Jadi panggilan haji ini adalah segala-galanya kepada saya,” ujarnya ketika ditemui di Abraj Al Tayseer, di sini baru-baru ini.

Bercerita mengenai kehidupannya sebelum berhijrah, bapa dua anak itu berkata, dia yang menggunakan nama Kris Lim merupakan seorang pendakwah agama lain dan kerap menyertai misi sehingga ke Filipina untuk tujuan tersebut.

“Apabila ekonomi merudum saya dihantar ke sebuah rumah ibadat di Johor Bahru dan berkawan dengan anak-anak Melayu di sana. Mereka ini menunjukkan Islam kepada saya, itulah tarikan saya.

“Selepas itu saya didatangi mimpi, dalam mimpi itu sebelah kaki saya di dalam sampan, sebelah lagi kaki di jeti. Di sampan itu agama lama saya, di jeti itu stabil (gambaran) agama Islam yang lurus dan sebenar-benarnya suci,” katanya.

Ceritanya lagi, selepas itu dia bertanya rakan-rakan bagaimana untuk masuk Islam dan mereka banyak memberikan semangat untuk membantu.

Ujarnya, dia mengucap dua kalimah syahadah di Majlis Agama Islam di Johor pada April 1989 kira-kira sebulan selepas didatangi mimpi tersebut.

“Saya anak sulung dan mempunyai 10 ahli keluarga dan tujuh daripadanya memeluk agama Islam. Antara doa saya di hadapan Kaabah adalah saya betul-betul harapkan keluarga saya yang belum Islam menerima hidayah.

“Saya betul-betul berdoa kepada Allah agar saya menjadi ‘cahaya’ buat mereka mendekati Islam. Itu yang saya ucapkan saat melihat Kaabah kerana apa yang kita sayang adalah keluarga,” tambahnya.

Warga emas itu bernikah dengan seorang wanita di Bintulu pada tahun 1992 dan kini bertugas sebagai pengurus stesen minyak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI